Rebah bertemu ajal ketika baca Al-Quran
Seorang tukang kebun meninggal dunia selepas selesai solat Subuh di Masjid Nurul Hasanah, Bukit Kechil, Simpor, di sini kira-kira jam 7 pagi, pada Jumaat.
Menurut laporan Sinar Harian, mangsa bernam Abdul Wahab Mat Noh, 54, bertugas di Sekolah Kebangsaan (SK) Darulaman, Bukit Kechil dikatakan sedang membaca Al-Quran di bahagian belakang ruang solat sebelum tiba-tiba rebah.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, sebaik menyedari kejadian, kakitangan masjid menghubungi ambulans untuk bantuan.
Menurutnya, kakitangan hospital yang tiba kemudian membuat pemeriksaan dan mengesahkan mangsa telah meninggal dunia.
“Pemeriksaan badan ke atas mangsa bagaimanapun tidak menjumpai sebarang kesan luka atau lebam serta disyaki tiada kaitan unsur jenayah,” katanya.
Mayat dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani untuk tindakan lanjut.
Menurutnya, maklumat dari keluarga memberitahu, mangsa menghidap penyakit darah tinggi dan bergantung pada ubat yang dibeli dari farmasi.
Berdasarkan laporan awal, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.