REE Kedah: Syarikat baru 4 bulan tubuh tandatangan MoU undang tanda tanya

REE Kedah: Syarikat baru 4 bulan tubuh tandatangan MoU undang tanda tanya

Isu REE Kedah kini semakin mendapat tempat di kalangan pengguna media sosial. Manakan tidak, disebabkan isu inilah, rekod kebanggaan Pas yang mendakwa tidak pernah terpalit dengan isu rasuah selama memegang kuasa musnah sekelip mata.

Malah lebih tragis, ianya berlaku di negeri yang bermenteri besarkan seorang panglima perang terhebat PN ketika ini.

Memetik perkongsian Ketua Penerangan UMNO Kedah,  Dato’ Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata hasil semakan latar belakang syarikat Jangka Bakat Minerals Sdn Bhd yang menandatangani MoU bersama Kerajaan Negeri Kedah telah mendedahkan fakta bahawa syarikat tersebut hanya ditubuhkan pada 1 September 2022 iaitu hanya sekitar 4 bulan lalu.

Menurut beliau, fakta mengejutkan ini menimbulkan keresahan dan kegusaran ramai tentang bagaimana kaedah tataurus dan kelola Kerajaan Negeri Kedah pimpinan Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Mohd Nor berhubung isu yang hangat diperkatakan ini.

Perlu juga diingat katanya, rakyat Kedah sebelum ini telah dikejutkan dengan pendirian Sanusi untuk meneruskan MoU penerokaan rare earth element (REE) walaupun Kementerian berkaitan masih belum menggariskan penetapan prosedur operasi standard (SOP) rasmi bagi aktiviti perlombongan sumber mineral tersebut.

Kedah bukan satu-satunya negeri yang kaya dengan sumber REE namun kenapa hanya negeri Kedah yang paling tergesa-gesa mahu memulakan eksplorasi walaupun belum selesai dimuktamadkan SOP yang berkaitan, tambahnya lagi.

Justeru itu,  beliau menggesa Kerajaan Negeri Kedah supaya janganlah tamak dan patuhilah garis panduan kementerian di peringkat pusat seperti kerajaan lain yang turut juga mempunyai sumber REE di negeri mereka.