Remaja 14 tahun bayar zakat perniagaan RM10,000

Remaja 14 tahun bayar zakat perniagaan RM10,000

 

Seorang pelajar Tingkatan Dua menjadi individu paling muda membayar zakat perniagaan bagi tahun lalu berjumlah RM10,000 kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik).

Putri Mumtaz Sunnafis Luthfiya Mustamaman, 14, yang juga pengasas produk makanan dikenali sebagai BebyCurve hadir untuk menyerahkan zakat perniagaan kepada Ketua Pegawai Zakat Maik Ameer Azeezy Tuan Abdullah pada Khamis lalu.

Putri Mumtaz berkata, dia tampil menunaikan tanggungjawab selepas produk BebyCurve yang diusahakannya mencapai jualan sebanyak RM400,000 dalam tempoh empat bulan sejak September tahun lalu.

“Saya mula berniaga menerusi aplikasi TikTok dan agak terkejut apabila mendapat sambutan luar biasa daripada pelanggan. Susulan itu, saya mula mengambil ejen untuk meluaskan lagi penjualan produk saya.

“Susulan sambutan yang menggalakkan, ibu Bibi Hasnalinda Zainal Abidin, 46, dan ayah, Mustaman Che Yusof, 60, menasihati saya supaya mengeluarkan zakat perniagaan kepada Maik,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Katanya, dia lega dapat menjadi salah seorang pembayar zakat dan berharap sumbangan itu membantu golongan yang memerlukan.

“Ini juga ajaran nenek sebab nenek selalu berpesan apa-apa mesti dahulukan zakat. Saya juga berharap bisnes BebyCurve ini semakin maju,” katanya.

Sementara itu, Bibi Hasnalinda turut rasa terharu dengan usaha yang ditunjukkan anaknya untuk tampil membayar zakat walaupun usianya masih muda.

Katanya, dia berharap tindakan itu akan menjadi contoh kepada usahawan dan ahli perniagaan lain untuk sama-sama membayar zakat.

“Saya sentiasa berpesan kepada anak bahawa apa yang kita lakukan, jangan kita lupakan Allah,” katanya.