Remaja 18 tahun ‘diratah’ bapa, 3 abang

Remaja 18 tahun ‘diratah’ bapa, 3 abang

 

Derita seorang remaja perempuan yang dipercayai menjadi mangsa rogol dan liwat oleh bapa serta tiga abang kandungnya sejak tahun lalu, berakhir apabila kesemua empat lelaki itu diberkas polis, semalam.

Malah, mangsa berusia 18 tahun itu dikatakan diberi minuman dicampur bahan disyaki dadah oleh suspek sebelum dirogol, selain diikat dan mulut ditutup dengan pita pelekat ketika kejadian.

Perbuatan jijik itu terbongkar selepas mangsa yang sudah kematian ibu, tampil membuat laporan polis pada jam 2.59 petang kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri, Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman, berkata berdasarkan laporan diterima, kejadian didakwa berlaku di Tanjung Minyak.

Beliau berkata, mangsa mendakwa dirogol dan diliwat secara bergilir-gilir oleh tiga abangnya di rumah.

“Mangsa juga dikatakan diberi minuman dicampur bahan disyaki dadah oleh suspek sebelum dirogol, selain kedua-dua tangan serta kakinya diikat menggunakan tali rafia di penjuru katil, manakala mulut pula ditutup dengan pita pelekat.

“Pada waktu malam pula, mangsa mendakwa dirogol bapa dan akan dipukul jika melawan,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Mohd Sukri berkata, hasil siasatan awal mendapati kejadian didakwa berlaku sejak Februari 2020 dan kali terakhir pada hujung Februari lalu.

“Suspek didakwa melakukan perbuatan itu secara bergilir-gilir ketika berada bawah pengaruh dadah,” katanya.

Susulan itu, beliau berkata, keempat-empat suspek dan seorang wanita yang juga kakak ipar mangsa berusia antara 23 hingga 48 tahun, ditahan antara jam 12.45 tengah malam hingga 1.13 pagi semalam.

Malah, katanya, hasil ujian saringan air kencing juga mendapati tiga daripada suspek terbabit positif dadah dipercayai jenis Methamphetamine.

“Kesemua mereka yang ditahan itu kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 376 B dan Seksyen 377 C Kanun Keseksaan,” katanya.