Remaja dilaporkan hilang hampir 2 bulan, ditemui maut dalam keretanya terbabit kemalangan di cerun semak

Remaja dilaporkan hilang hampir 2 bulan, ditemui maut dalam keretanya terbabit kemalangan di cerun semak

Setelah hampir dua bulan dilaporkan hilang, seorang lelaki ditemui maut dipercayai terbabit dalam kemalangan di Kilometer 7 Jalan Juasseh-Bahau.

Mayat mangsa, Muhammad Aiman Danial Mohd Faizal, 19, ditemui orang awam yang kebetulan mencari pucuk cemperai di kawasan itu kira-kira jam 7.20 malam bersama Perodua Kancil dipandunya di kawasan terbabit, sebelum dimaklumkan kepada pihak polis.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Amran Mohd Gani berkata, siasatan awal di lokasi kejadian turut menemukan kad pengenalan serta lesen memandu milik mangsa.

“Hasil semakan, ibu mangsa pernah membuat laporan polis mengenai kehilangan anaknya itu pada 6 Jun lalu di Balai Polis Terachi, di sini.

“Mangsa dilapor menaiki Perodua Kancil berwarna kelabu berseorangan dan gagal dihubungi sehinggalah mayatnya dijumpai semalam,” katanya.

Tambah beliau, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN), di sini, bagi tujuan bedah siasat.

Sekiranya terdapat sebarang maklumat, orang ramai boleh menyalurkan kepada Inspektor Muhammad Helmi Hussin di talian 018-9851207 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan.