Remaja guna Instagram minta bantuan diselamatkan dari runtuhan

Remaja guna Instagram minta bantuan diselamatkan dari runtuhan

 

Seorang remaja lelaki yang menetap di wilayah Hatay, Turkiye membuat keputusan untuk memanfaatkan bateri telefon bimbit yang masih ada untuk merakam pengalamannya dan meluahkan harapan untuk diselamatkan dalam kejadian gempa bumi yang berlaku baru-baru ini.

Dia yang tertimbus di bawah runtuhan bangunan telah merakam dan memuat naik video di akaun Instagram yang memaparkan keadaannya ketika terperangkap di dalam sebuah ruang kecil dengan keadaan muka dan seluruh badannya dipenuhi habuk sisa runtuhan.

“Saya tidak tahu sama ada saya akan mati atau terselamat. Saya tidak tahu bagaimana untuk meluahkan perasaan ketika terperangkap di bawah runtuhan begini,” katanya dalam video tersebut.

Beberapa bunyi suara memohon pertolongan dari mangsa yang lain turut dapat didengar.

Sisa runtuhan juga dilihat masih jatuh dan mengenai badannya ketika dia cuba mengalihkan rakaman kamera ke arah lain.

“Terdapat lebih daripada dua, tiga atau empat keluarga (terperangkap) serta jiran-jiran kami. Semoga Tuhan menyelamatkan kami. Saya tidak dapat menjelaskannya, ia bergegar.

“Rakan-rakan semua, kami terperangkap dalam gempa bumi. Ibu! Adakah anda dalam keadaan selamat? Ibu! Katakan anda berada di sesuatu tempat. Tolong bantu kami,” tambah remaja itu lagi.

Dia kemudiannya memberikan alamat rumahnya dan sejurus selepas itu, remaja tersebut memuat naik hantaran yang mengatakan bahawa dia telah berjaya diselamatkan.

Namun menurutnya, ibunya masih lagi terperangkap di sebalik runtuhan konkrit dan nasib ibunya itu masih belum dapat diketahui sehingga kini.