Remaja ini terbang ke Australia, dapat lesen juruterbang rekreasi di usia 16 tahun

Remaja ini terbang ke Australia, dapat lesen juruterbang rekreasi di usia 16 tahun

 

Sedang rakan-rakan sebaya sibuk memikirkan tentang institusi mana yang mahu dipilih untuk meneruskan pembelajaran selepas selesai menduduki peperiksaan GCE ‘O’, berbeza pula halnya dengan Mohd Anaqi Mohd Rizal.

Anak muda ini, sudah jelas hala tujunya. Beliau mahu ‘terbang tinggi’.

Tidak lama selepas peperiksaan GCE ‘O’, Mohd Anaqi sudah bergelar juruterbang. Bermakna, beliau mendapat lesen untuk menjadi juruterbang pada usia 16 tahun – sebelum usia sah untuk mendapatkan lesen memandu!

Lesen yang diperolehi Mohd Anaqi pada 2023 itu adalah sebagai juruterbang rekreasi.

Meski berminat dengan kapal terbang sejak kecil lagi, Anaqi pada mulanya tidak ada cita-cita untuk menjadi seorang juruterbang.

Namun, semasa satu percutian bersama ibu bapanya ke Hong Kong pada usia 10 tahun, mereka menaiki pesawat Singapore Airlines.

Sepanjang penerbangan itu, Mohd Anaqi berasa kagum melihat bahagian-bahagian pesawat seperti ‘spoiler’ dan kepak pada sayap pesawat. Bunyi enjin pesawat semasa berlepas juga disifatkan sebagai “memuaskan”.

Mulai detik itu, terbit keinginan yang mendalam yang sekali gus membuatkan Mohd Anaqi berazam untuk menjadi seorang juruterbang.

“Selepas percutian itu, saya pun memberitahu ibu bapa saya, ‘Mummy, Daddy, boleh saya jadi seorang juruterbang satu hari nanti?’,”cerita Mohd Anaqi kepada BERITA Mediacorp, sambil menambah bahawa kedua orang tuanya amat mendukung cita-cita beliau dan memberikan sokongan penuh kepadanya.

Selain itu, filem-filem yang bertemakan penerbangan seperti ‘Top Gun: Maverick’ dan ‘Air Force The Movie: Selagi Bernyawa’ juga membuatkan beliau semakin berkobar-kobar untuk mengejar impiannya.

Mohd Anaqi kemudian membuat keputusan untuk menangguhkan pengajian ataupun mengambil ‘gap year’ sebaik sahaja selesai menduduki peperiksaan GCE Peringkat ‘O’.

Beliau menyertai Program Juruterbang Rekreasi yang dikendalikan akademi penerbangan Aeroviation yang berpangkalan di Singapura. Beliau mula mengikuti kelas teori di Singapura pada Januari 2023 dan latihan simulator pada Mei 2023.

Pada Julai 2023, Mohd Anaqi berangkat ke Adelaide, Australia untuk menjalani latihan simulator dan kursus amali selama sebulan.

Setelah lima hari di Adelaide, Mohd Anaqi diberi lampu hijau untuk menerbangkan pesawatnya secara solo. Ini sesuatu yang di luar jangkaan beliau.

“Semasa menerbangkan pesawat secara solo, dalam fikiran saya hanya ada satu petikan dialog dari filem ‘Top Gun: Maverick’ – iaitu ‘Don’t think just do’ (Jangan fikir, lakukan sahaja). Selepas selesai lakukan penerbangan tiga pusingan, saya rasa sangat bangga dengan diri saya.

“Ini suatu perkara luar biasa yang pernah saya lakukan kerana saya mengimpikan detik itu sejak saya mula daftarkan diri ke sekolah penerbangan,” kongsi Mohd Anaqi.

APA ITU JURUTERBANG REKREASI?

Seorang juruterbang rekreasi boleh menyewa pesawat atau menerbangkan pesawat mereka sendiri pada bila-bila masa bagi tujuan menikmati pemandangan dan menimba pengalaman.

Namun mereka hanya boleh membawa seorang sahaja penumpang kerana pesawat bagi tujuan rekreasi adalah pesawat yang ringan dengan hanya dua tempat duduk.

Lesen penerbangan rekreasi Mohd Anaqi juga hanya membolehkan beliau terbang sejauh 25 batu nautika dalam kawasan lapangan terbang.

“Apabila saya terbang buat kali pertama, pesawat yang saya naik itu ringan dan cuaca pun bagus jadi semasa saya mendarat, ia amat lancar,” ujar Mohd Anaqi.

Jenis pesawat yang boleh diterbangkan Mohd Anaqi pula adalah Jabiru 120 dan Jabiru 160 yang ditawarkan oleh sekolah penerbangan beliau. Namun ada juga pesawat rekreasi lain seperti Tecnam P92.

“Asalkan pesawat itu ada dua tempat duduk, saya dibenarkan menerbangkannya,” tambah Mohd Anaqi.

BERAPA YURAN PERLU DIBAYAR?

Mohd Anaqi memberitahu BERITA Mediacorp, yuran yang perlu dibayar untuk mendapatkan lesen penerbangan rekreasi itu adalah S$12,000.

Sebanyak S$5,000 bagi yuran kelas teori dan latihan simulator di Singapura dan lagi S$7,000 bagi latihan di Australia termasuk penerbangan dan penginapan.

Yuran tersebut ditanggung sepenuhnya terlebih dahulu oleh ibu bapa Mohd Anaqi – Encik Mohamad Rizal Mohamad Harith dan Cik Azizah Rahmat.

BOLEHKAH TERBANGKAN PESAWAT REKREASI DI SG?

Buat masa ini, lesen Mohd Anaqi hanya membolehkan beliau menerbangkan pesawat rekreasi di ruang udara Australia.

Untuk menerbangkan pesawat rekreasi di Singapura, Mohd Anaqi perlu memperoleh lesen berasingan.

IMPIAN ‘TERBANGKAN’ IBU BAPA JADI KENYATAAN

Pada minggu terakhir Mohd Anaqi di Adelaide, ibu bapanya turut ke sana untuk menyokong anak sulung mereka itu.

Bagi Mohd Anaqi, salah satu detik paling manis selain memperoleh lesen penerbangan adalah apabila beliau dapat ‘terbangkan’ ibu bapanya.

“Apabila saya membawa ibu saya di dalam pesawat, reaksinya santai sahaja. Tetapi ketika saya terbang bersama bapa saya, dia terkejut apabila kami berdepan angin yang kuat,” cerita Mohd Anaqi yang kini berusia 17 tahun.

RANCANGAN MASA DEPAN

Lesen penerbangan rekreasi sudahpun berada dalam genggaman. Impian sudah dicapai. Namun, Mohd Anaqi tidak berpeluk tubuh. Sebaliknya, beliau menanam azam lebih besar.

Mohd Anaqi berhasrat untuk mengikuti kursus pengurusan penerbangan di Politeknik Temasek ataupun Politeknik Republik. Beliau juga sedang bekerja sebagai pengiring di Lapangan Terbang Changi agar dapat membayar balik ibu bapanya yang menampung yuran kursus penerbangannya terlebih dahulu.

“Setiap bulan, saya bayar balik sekitar $200 atau $300 secara ansuran,” kongsi Mohd Anaqi.

Usai pengajian dalam bidang pengurusan penerbangan kelak, Mohd Anaqi mempunyai rancangan untuk kembali ke Adelaide pada September tahun ini untuk mempertingkatkan lesennya.

“Dengan lesen saya sekarang, saya hanya boleh terbang 25 batu nautika di sekitar lapangan terbang dalam lingkungan radiusnya.

Jadi saya juga merancang untuk ke Adelaide sekali lagi untuk dapatkan pengesahan navigasi saya,” kata Mohd Anaqi, merujuk kepada keupayaan untuk terbang dalam jarak lebih jauh lagi.

Untuk jangka panjang, Mohd Anaqi juga berhasrat untuk mendapatkan lesen penerbangan rekreasi untuk terbang di Singapura dan mahu menjadi juruterbang komersial.

“Saya tidak cerewet, mana-mana syarikat penerbangan pun boleh, asalkan saya dapat membawa ibu bapa saya ke luar negara sebagai seorang juruterbang.”