Remaja perempuan ini tolak tawaran sambung belajar demi keluarga
KEBANYAKAN pelajar pasti teruja apabila mendapat tawaran untuk melanjutkan pelajaran di sekolah berasrama, lebih-lebih lagi dalam bidang yang diminati.
Namun tidak bagi seorang remaja perempuan yang memilih untuk menolak tawaran tersebut demi keluarga.
Menerusi perkongsian video di TikTok yang dimuat naik oleh ibu gadis itu, anaknya yang akan memasuki tingkatan empat mendapat tawaran dari Kolej Vokasional Tanjung Puteri dalam kursus Teknologi Automotif.
“Bila keluar keputusan, barulah dia cakap ‘siapa nak bantu mama dan ayah uruskan Nenek Ani? Siapa nak uruskan adik-adik?’
“Patutlah beriya tak nak masuk kolej,” demikian antara kapsyen yang ditulis si ibu.
Along mendapat tawaran ke Kolej Vokasional Tanjung Puteri.
Berkongsi cerita dengan mStar, wanita bernama Farisa Karmila itu berkata, dia sendiri terkesima bercampur sebak selepas anak sulungnya, Nur Faieza Farisa Mohd Fariduddin Fawwaz memilih untuk mengutamakan keluarga berbanding perkara yang melibatkan masa depannya.
“Sebenarnya sebelum Along mohon kolej, dia tanya dulu dan saya setuju saja. Selepas menjawab ujian kemasukan kolej, dia kata tak jadi nak masuk tapi tak cakap sebab.
“Kemudian selepas dapat panggilan interview, sekali lagi cakap tak jadi pergi kalau dapat. Saya tanya ‘Along nak kerja ke?’ tapi dia masih tak cakap sebabnya. Bila keluar keputusan pada 17 Mac baru-baru ini, saya tanya lagi sekali.
“Terus dia cakap siapa nak jaga adik-adik dan Nek Ani. Saya rasa sedih bila dengar kata-katanya. Dia pilih untuk utamakan keluarga ketika remaja lain teruja nak capai impian, tapi dia tolak,” ujar wanita berusia 34 tahun ini mengenai anak sulungnya yang digelar Along.
Menurut Farisa yang merupakan ibu kepada lapan cahaya mata, Along merupakan seorang anak yang sangat bertanggungjawab, ringan tulang dan tidak pernah merungut meskipun masa remajanya banyak dihabiskan untuk keluarga.
Along meraih anugerah kerana aktif dalam bidang ko-kurikulum.
“Along ada tujuh adik dan sebagai kakak, dia banyak membantu jaga adik-adik. Selain itu, dia juga jaga nenek saudaranya, Nek Ani yang terlantar sakit. Kami menjaga Nek Ani sejak 10 tahun lalu.
“Sebab terbiasa tengok saya dan suami uruskan Nek Ani, dia tak kekok langsung mandikan, bersihkan, bagi makan untuk Nek Ani lebih-lebih lagi bila saya sibuk berniaga makanan.
Tak ramai remaja yang sanggup nak jaga orang tua sebab sebenarnya ia tak mudah.
“Kadang-kadang dia bantu kami berniaga juga. Ada masa dia keluar juga dengan kawan-kawan tapi lebih banyak masanya untuk keluarga,” ujar ibu kepada cahaya mata berusia antara enam bulan hingga 16 tahun ini.
Bagaimanapun ujar Farisa, dia dan suami memujuk anak sulung mereka agar menerima tawaran tersebut demi masa depannya.
Along (depan) dan anak kedua Farisa turut membantunya di gerai.
“Bahkan Nek Ani pun pujuk dia. Kami kata, urusan di rumah, biarlah mama ayah dan adik-adik yang dah besar uruskan. Akhirnya selepas dipujuk, Along akur untuk terima tawaran itu,” ujarnya yang menetap di PPR Kempas, Johor Bahru.
Farisa menambah, Along akan mendaftar masuk ke kolej berkenaan pada 27 Mac ini.
Tidak menyangka perkongsian kisah Along meraih melebihi 1.2 juta jumlah tontonan, Farisa berkata dia terharu apabila mendapati rata-rata warga maya memberikan komen positif dan sokongan buat anak sulungnya itu.
Along (duduk) merupakan anak sulung daripada lapan adik beradik.
“Alhamdulillah saya bersyukur dengan komen yang positif. Malah ramai yang mendoakan kejayaan Along. Semoga doa itu semua berbalik kepada mereka juga.
“Saya sekadar kongsi video itu untuk dijadikan kenangan. Dalam masa yang sama, mahu sampaikan mesej positif kepada orang lain. Tak ramai remaja yang sanggup nak jaga orang tua sebab sebenarnya ia tak mudah.
“Mudahan secara tak langsung, menerusi video ini, saya dapat berkongsi nilai-nilai murni dengan orang lain,” akhirinya.