Remote kunci habis bateri? Jangan panik, ini cara buka pintu & hidupkan enjin

Remote kunci habis bateri? Jangan panik, ini cara buka pintu & hidupkan enjin

 

ANDA pasti panik sekiranya kereta tidak dapat dihidupkan secara tiba-tiba.

Antara punca kereta tak dapat dihidupkan termasuklah masalah pada enjin, juga disebabkan ‘remote’ kunci kereta yang tidak berfungsi.

Masalah ‘remote’ habis bateri sering berlaku kepada kebanyakan kereta baharu di pasaran yang menggunakan sistem keyless atau smart key.

Menerusi sistem ini, kunci tidak lagi diperlukan untuk menghidupkan enjin sebaliknya pemandu hanya membawa ‘remote’ masuk ke dalam kereta dan kemudian tekan sahaja butang ‘start’.

Selain tidak dapat menghidupkan enjin, masalah lain yang akan timbul apabila bateri ‘remote’ habis adalah pintu kereta tidak dapat dibuka dari luar.

Jadi apa yang perlu dilakukan apabila situasi ini berlaku?

Seorang penjual kereta terpakai, @abangrecond.uv berkongsi cara untuk berdepan masalah ini yang mana perkongsiannya turut tular.

Cara pertama

Hala ‘remote’ anda dan dekatkan pada butang hitam atau sensor di bahagian pintu pemandu untuk ‘unlock’.

Kemudian cuba buka pintu seperti biasa.

Sekiranya gagal, anda boleh gunakan satu lagi cara iaitu menggunakan kunci fizikal yang tersembunyi dalam ‘remote’ mengikut langkah di bawah:

1. Keluarkan kunci tersebut untuk membuka pintu dengan cara memasukkannya pada lubang pada pemegang pintu yang tersedia.

2. Untuk hidupkan enjin, anda perlu tekan pedal brek kemudian tekan butang ‘push start’.

3. Kereta anda akan mengeluarkan lampu logo amaran kunci pada papan pemuka.

4. Letak ‘remote’ kereta dan rapatkan pada butang ‘push start’.

Sekiranya lampu ‘push start’ menyala, bermakna sistem kereta anda telah mengesannya.

Jadi anda boleh hidupkan enjin macam biasa dengan tekan pedal dan ‘push start’.

Cara kedua

Jika ‘remote’ anda masih ada bateri tetapi sangat lemah, anda boleh juga gunakan cara berikut.

1. Letakkan remote di butang ‘push start’ untuk diimbas.

2. Jika berjaya, kereta akan automatik mengesannya dan lampu butang tersebut akan menyala.

3. Anda boleh tekan brek dan ‘push start’ seperti biasa untuk hidupkan enjin.

Apabila enjin sudah hidup segeralah ke kedai untuk menukar bateri baharu.