Restoran eksklusif Salt Bae dikunjungi Azmin diberi ‘rating’ rendah Tripadvisor

Restoran eksklusif Salt Bae dikunjungi Azmin diberi ‘rating’ rendah Tripadvisor

Siapa yang tidak kenal dengan chef Salt Bae, chef selebriti yang menjadi tumpuan personaliti terkemuka untuk menjamah hidangan eksklusifnya itu.

Dalam ramai-ramai personaliti yang pernah mencuba menu hidangan mewah chef tersebut ialah Azmin Ali, Menteri MITI yang dikesan mengunjungi restoran tersebut baru-baru ini bersama ahli keluarganya.

Meskipun timbul sedikit kontroversi dengan kunjungannya selepas tular resit harga bayaran berjumlah lebih RM200 ribu, seperti dibangkitkan ahli parlimen pembangkang di dalam Dewan Rakyat, namun Azmin pantas menafikannya.

Namun timbul laporan terkini berkaitan restoran mewah milik chef selebriti terkenal dari Turki itu. Restoran milik Nusr-Et atau lebih dikenali sebagai Salt Bae itu dilaporkan menjadi satu daripada premis makanan yang mendapat ranking rendah dalam Tripadvisor.

Menurut laporan Utusan Online, restoran Salt Bae yang terletak di Knightsbridge itu dikatakan menjadi restoran kedua paling mahal di dunia, namun kualiti dan rasa makanannya tidak seenak yang diharapkan.

Daripada 23,811 restoran yang disenarai dalam Tripadvisor, restoran Salt Bae berada pada kedudukan 20,491 dan mendapat rating dua dari lima bintang.

Antara hidangan paling mahal di restoran Salt Bae adalah stik bersalut emas yang berharga 1,450 pound (RM8,102) sepinggan.

Harga yang tidak masuk akal di restoran tersebut melonjakkan populariti Salt Bae yang sebelum ini terkenal dengan aksinya menabur garam.

Selain itu, terdapat pelbagai pihak saling berdebat mengenai rasa dan harga makanan di restoran tersebut dengan kebanyakannya menyatakan hidangannya tidak seenak yang dijangka.

Ada juga pihak yang menyifatkan Salt Bae sebenarnya hanya menjual populariti dan bukannya kualiti makanan yang enak, selain menyamakan restoran itu dengan ‘perangkap kematian’ kerana harganya yang cekik darah.

Selain di London, Salt Bae turut memilik cawangan restoran di Los Angeles, Turki dan Dubai.

Namun, kesemuanya menerima reaksi yang kurang menyenangkan daripada pelanggan.