Restoran terkenal di Subang Jaya diserbu, disyaki hidang mi kari ada daging babi

Restoran terkenal di Subang Jaya diserbu, disyaki hidang mi kari ada daging babi

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor memeriksa dan merampas bahan mentah berupa daging ayam, di sebuah restoran terkenal di Subang Jaya semalam, susulan tular sebuah video mendakwa mi kari yang dijual premis itu mengandungi daging babi.

Pengarah KPDNHEP Selangor Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata, pemeriksaan dijalankan lima anggota penguat kuasa itu, bagaimanapun mendapati restoran berkenaan mempunyai sijil halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang sah sehingga 30 Nov ini.

“Menurut pengurus restoran itu, beliau mempunyai tiga pekerja warga Myanmar yang bertugas sebagai tukang masak.

“Pemeriksaan lanjut ke bahagian dapur restoran menemukan bahan mentah yang digunakan untuk menyediakan menu mi kari kepada pelanggan. Bahan mentah utama iaitu daging disyaki daging ayam disita, bagi tujuan ujian makmal dan keterangan oleh pakar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Muhamad Zikril Azan, turut disita semasa pemeriksaan itu adalah Sijil Halal JAKIM dan dokumen penghantaran bahan mentah oleh pembekal.

Katanya, pengurus premis memaklumkan bekalan bahan mentah dipesan oleh pihak ibu pejabat syarikat restoran terbabit.

Muhamad Zikril Azan berkata kes disiasat di bawah kesalahan Perintah 3(1)(a) Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011 dan jika disabitkan dengan kesalahan, boleh didenda seperti di bawah Perintah 5 Perintah Perihal Dagangan 2011.

Tambah beliau lagi, KPDNHEP Selangor akan terus memantau serta memeriksa bagi memastikan mana-mana pemegang sijil halal JAKIM sentiasa mematuhi peraturan selain menekankan aspek kesucian dan kebersihan bagi menjamin kemaslahatan pengguna Muslim di negara ini.

Sumber: Malaysiakini