Rider ini pakai kaki palsu, tapi buat 4 kerja demi sara hidup

Rider ini pakai kaki palsu, tapi buat 4 kerja demi sara hidup

 

Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Itulah yang sesuai digambarkan dengan pemuda ‘berkaki besi’ yang tular di media sosial baru-baru ini kerana kegigihannya bekerja sebagai ‘rider’.

Tidak putus asa

Walaupun berdepan episod ngeri dalam hidup apabila terlibat kemalangan pada 2017 sehingga terpaksa menyebabkan kWaki kanannya dipotong, pemuda 22 tahun itu bersyukur mendapat sokongan keluarga untuk meneruskan kehidupan.

Memetik laporan, pemuda berkenaan yang dikenali sebagai Danial Asyraf Roslan merupakan orang kelainan upaya (OKU) yang memakai kaki palsu dan melakukan penghantaran di sekitar Melaka.

Bukan satu tapi empat kerja

“Pada mulanya agak sukar untuk saya meneruskan kehidupan. Tapi saya bersyukur kerana sokongan keluarga memberi semangat untuk bangkit semula,” katanya.

Apa yang menarik perhatian, anak bongsu daripada empat beradik itu sentiasa berfikir ke hadapan dan berdikari dalam mencari rezeki sendiri tanpa mengharapkan belas ihsan orang lain.

Selain daripada menghantar barang, dia turut membuat kerja penghantaran secara sambilan untuk sebuah restoran.

“Pada masa sama, saya buat part time delivery untuk kakak saya yang berniaga susu. Saya juga sedia khidmat runner kepada sesiapa yang memerlukan khidmat penghantaran saya.

Biarpun kekurangan dari segi fizikal, Danial tekad melakukan empat kerja dalam satu masa mengikut permintaan semasa.

“Kiranya ada empat kerja dalam satu masa. Tapi semuanya bergantung rezeki daripada Tuhan. Kalau tak ada yang ini mungkin ada yang itu,” tambahnya.

Terdahulu, gambar Danial tular di laman Facebook menerusi akaun Sepet Vtec yang mendapat ratusan perkongsian dan komen netizen yang memuji kegigihan pemuda tersebut dalam mencari rezeki.

Bukan senang nak cari rezeki zaman sekarang ni, respek semangat brader ni tak putus asa! Semoga terus cekal mencari rezeki untuk menyara diri sendiri dan keluarga.

Semoga dimurahkan rezeki buat rider ini. Sama-sama kita doakan buat pemuda ini semoga dipermudahkan segala urusan.