Ridzuan Hashim penulis lirik lagu Alyah, Yusof Haslam kenang pelukan terakhir arwah

Ridzuan Hashim penulis lirik lagu Alyah, Yusof Haslam kenang pelukan terakhir arwah

 

Penerbit Datuk Yusof Haslam tidak menyangka pelukan yang diberikan Allahyarham Ridzuan Hashim kepadanya tahun lalu adalah yang pertama dan terakhir buatnya.

Yusof, 69, berkata, Allahyarham yang ketika itu sudah menderita penyakit jantung masih kuat bekerja bagi menyelesaikan drama terakhir lakonannya berjudul Kuasa terbitan syarikat produksinya, Skop Production Sdn Bhd dan Astro Shaw.

“Dia tak tunjuk dia sedang sakit, dia peluk saya dan kata dia okey sahaja. Sebelum ini dia tidak pernah peluk saya.

“Saya tahu semangat dia kuat, walaupun dalam keadaan sakit, dia gagahkan diri meneruskan penggambaran sebab dia mahu berlakon.

ridzuan hashim 11

Jenazah Allahyarhan Ridzuan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Dusun Tua, Hulu Langat.

“Jadi ketika itu saya beritahu kepada kru produksi berikan watak sesuai dengan kemampuannya,” katanya kepada mStar.

Yusof antara rakan artis yang hadir ketika upacara pengebumian Allahyarham di Tanah Perkuburan Islam Dusun Tua, Hulu Langat, Selangor pada malam Khamis.

Ridzuan atau Mohd Ridzuan Hashim, 62, meninggal dunia akibat serangan jantung pada pagi Khamis selepas rebah ketika sedang bersarapan di kediamannya di Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur.

Sementara itu, penyanyi Datin Alyah pula mendedahkan arwah merupakan individu penting yang banyak membantu ketika dia mua aktif dalam dunia seni sekitar tahun 2001.

Alyah atau Noor Hasliah Abu Hasan, 42, berkata, Ridzuan yang mempunyai pertalian keluarga dengannya pernah menulis lirik lagu berjudul Kita Adalah Kita pada awal kemunculannya sebagai anak seni.

“Saya tak pasti bagaimana pertalian keluarga kami. Apa saya tahu arwah adalah saudara di sebelah arwah bapa saya. Kami memang sudah lama tidak berjumpa.

alyah 1

Arwah Ridzuan antara orang penting dalam permulaan kerjaya seni Alyah.

“Tetapi arwah adalah antara orang penting ketika awal saya menjadi penyanyi. Arwah abang juga pernah berpesan kepada Ridzuan untuk menjaga saya dan dia anggap saya seperti adiknya.

“Arwah Ridzuan antara salah seorang penulis lagu Kita Adalah Kita yang pernah saya nyanyikan di awal kemunculan dahulu,” jelasnya.

Allahyarham Ridzuan dilahirkan pada 13 Ogos 1961 di Kuala Lumpur dan berkahwin dengan pelakon Didie Alias pada tahun 1991 namun rumah tangga mereka hanya bertahan sehingga 2002.

New-Project-12-117

Ridzuan meninggal dunia pada usia 62 tahun.

Selepas bercerai dengan Didie, Ridzuan tidak pernah berkahwin lain dan lebih selesa hidup menduda.

Mereka dikurniakan lima orang cahaya mata perempuan iaitu Nur Dhaniyah, 30, Muhammad Dhanial, 29, Nur Dinie, 27, Nur Danie, 25 dan Nur Diana, 24 tahun.

Antara filem lakonan Allahyarham ialah Antara Dua Hati (1988), Hati Bukan Kristal (1990), Lurah Dendam (1996) Ghazal Untuk Rabiah (1997), Sri Dewi Malam (2001), Cinta 200 Ela (2002) dan KL Gengster.

Beliau juga pernah memenangi anugerah Pelakon lelaki terbaik FFM ke-9 menerusi filem Hati Bukan Kristal.