Risaukan kempen BN diboikot, Khairy umum batal saman terhadap wartawan

Risaukan kempen BN diboikot, Khairy umum batal saman terhadap wartawan

Kompaun dikenakan terhadap seorang wartawan pada hari penamaan calon pilihan raya negeri (PRN) Johor, semalam, dibatalkan, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata, laporan dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) itu diteliti dan ternyata bukan salah wartawan berkenaan.

“Saya dah minta saman itu dibatalkan sebab saya tengok balik kepada laporan itu bukan salah dia.

“Saya beritahu penguatkuasa kalau wartawan buat kerja bagi amaran dan teguran dulu yang fair (adil). (Kalau wartawan) cari (untuk) temu ramah tidak payah,” katanya dalam satu sidang media di Simpang Renggam, seperti dilaporkan portal FMT.

Beliau juga mengungatkan wartawan yang bertugas pada PRN Johor supaya mematuhi SOP.

Semalam, Wartawan Sin Chew Daily Wong Kian Yong, dikenakan kompaun oleh pegawai kementerian kesihatan yang mendakwa beliau gagal menjarakkan diri, di luar Dewan Jabatan Kerja Raya. Wong hadir di lokasi berkenaan untuk membuat liputan penamaan calon membabitkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin.

Wong mendekati calon bagi mendapatkan perincian maklumat peribadi.

Wartawan lain dari portal berita, Malaysia Gazette, Khairulanuar Yahaya, diberikan amaran.

Tindakan kompaun itu turut mengundang reaksi daripada Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ) selepas Pengarah Eksekutifnya, Wathslah Naidu berkata, pihak berkuasa sepatutnya memperuntukan peluang sama rata untuk sesi temuramah semua calon dan parti lain, di pusat penamaan calon.

“Sepatutnya tiada halangan diletakkan yang boleh menghalang wartawan menjalankan peranan mereka dalam menyebar luas maklumat kritikal dan tepat pada masanya,” katanya.

Sementara itu, Khairy berkata telah memberi arahan kepada pegawainya untuk mengeluarkan kompaun kepada mana-mana pemimpin daripada semua parti yang melanggar SOP semasa berkempen.

Beliau berkata tindakan hanya diambil sekiranya didapati individu terbabit menyebabkan berlaku kesalahan melanggar SOP.

“Saya dan sekretariat saya ada bilik gerakan di sini di bawah kesihatan awam dan saya telah bagi arahan kepada mereka untuk keluarkan kompaun. Tidak kira siapa, tidak kira parti individu kalau dapati langgar sop sebab kesalahan dia kita keluarkan kompaun,” katanya.

Khairy juga tidak menolak jika boleh mengkompaun bekas Perdana Menteri, Najib Razak sekiranya kempennya di Perling, Johor pagi tadi melanggar SOP.

“Jika didapati di dalam video, (melakukan) kesalahan disebabkan dia, boleh dikeluarkan kompaun,” katanya.