Rizab tanah Melayu meningkat selepas Pas tiada lagi dalam kerajaan, Amiruddin jawab fitnah Yunus

Rizab tanah Melayu meningkat selepas Pas tiada lagi dalam kerajaan, Amiruddin jawab fitnah Yunus

Dakwaan Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi bahawa rizab tanah Melayu di negeri itu turun disifatkan sebagai tuduhan dangkal.

Memetik MalaysiaGazette, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pada tahun 2018 iaitu tahun terakhir Pas menjadi sebahagian Kerajaan Selangor keluasan rizab tanah Melayu di negeri itu adalah 162,162.04 hektar.

Jumlah itu meningkat kepada 162,505.25 hektar tahun lalu.

“Dakwaan yang dangkal. Ini adalah faktanya, rizab tanah Melayu di Selangor 2018: 162,162.04 hektar; 2022: 162,505.25 hektar.

“Jumlah tanah rizab Melayu di Selangor meningkat setelah Pas tiada dalam kerajaan,” kata Amiruddin di Twitter.

Ahmad Yunus hari ini mendakwa rizab tanah Melayu di negeri itu turun mendadak di Selangor berbanding zaman pemerintahan parti itu sebelum ini.

Pesuruhjaya Pas Selangor itu mendakwa, berdasarkan isu data rizab tanah Melayu setakat 30 November 2022 mendapati ia turun sebanyak 3,200 hektar pada 2019 hingga 2021.

“Pas telah memerintah Negeri Selangor melalui Pakatan Rakyat pada tahun 2008, sejak itu Rizab Tanah Melayu mencatatkan peningkatan yang ketara sebanyak lebih 30,000 hektar.

“Namun, jumlah Rizab Tanah Melayu mulai menurun secara mendadak daripada tahun 2019 hingga 2021 sebanyak 3,200 hektar,” katanya dalam satu kenyataan.

Ahmad Yunus memberikan kenyataan tersebur berdasarkan kepada kenyataan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik bin Nik Ahmad yang mana berkata, rizab tanah di beberapa negeri mengalami penurunan.