Robot anjing bawakan cakera di sukan Asia curi tumpuan ramai

Robot anjing bawakan cakera di sukan Asia curi tumpuan ramai

 

Dua robot anjing yang muncul dalam acara olahraga Sukan Asia Hangzhou pada Ahad lalu telah berjaya mencuri perhatian lensa kamera.

Memetik ECNS, robot anjing itu telah membantu membawa cakera yang digunakan dalam acara lempar cakera agar acara tersebut berjalan lancar.

Selain itu, robot itu juga dikatakan telah membantu dalam memeriksa sistem bekalan kuasa, membimbing orang buta, sebagai penjaga gol hoki dan lain-lain lagi.

Robot itu telah menjadi sebahagian daripada sukarelawan di Sukan Asia Hangzhou tersebut.

Menerusi muat naik video di Instagram China Xinhua News, dua robot anjing itu dilihat bersilih ganti membawa cakera yang dilontar oleh para atlet acara tersebut.

Seorang individu yang menjaga kedudukan jarak lontaran para atlet akan mengambil cakera yang dilontar dan kemudiannya meletakkannya di atas belakang robot tersebut.

Robot itu seterusnya membawa cakera tadi ke arah seorang lagi lelaki yang berada di garisan permulaan lontaran cakera tersebut.

Robot anjing di Sukan Asia Hangzhou

Kemunculan robot dalam acara itu telah menandakan satu peristiwa penting dalam penerapan teknologi tersebut.

Robot yang digunakan untuk mengangkut cakera telah menambah sentuhan inovatif pada acara suka tradisi itu.

Memetik BNN, penggunaan teknologi ini bukan sahaja memeriahkan acara tersebut, tetapi ia juga menunjukkan potensi robotik dalam bidang di luar industri dan perkhidmatan konvensional mereka.

Kemunculan robot itu ke dalam acara tersebut telah menyerlahkan pertembungan sukan dan teknologi yang saling berkaitan.

Penggunaan robot itu telah membuka potensi robotik dalam sektor yang berbeza di dalam industri.

Untuk makluman, kejohanan sukan terbesar di peringkat Asia, iaitu Sukan Asia telah diadakan empat tahun sekali.

Kejohanan itu telah membuka tirainya pada Sabtu (23 September) dan akan tamat pada 8 Oktober depan.

Sebanyak 40 buah negara di Asia mengambil bahagian dalam sukan tersebut termasuklah para atlet dari negara kita.