Rockers lejen, Rahim Maarof kini di ICU
Penyanyi rock legenda, Rahim Maarof, 68, dimaklumkan kini tidak sedarkan diri dan ditahan di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Sungai Buloh, Selangor.
Disahkan oleh anak sepupunya, Nik Nazira Narriman yang juga isteri kepada penyanyi, Yonnyboii, penyanyi yang popular dengan lagu Cinta Kristal, Jangan Kau Rayu dan Istana Menanti itu dimasukkan ke hospital sejak minggu lalu.
“Ya, Uncle Rahim sekarang ditempatkan di ICU dan masih tidak sedarkan diri sejak menjalani pembedahan pada Jumaat lalu.
“Uncle Rahim dibedah berikutan strok, tetapi memang menghidap penyakit darah tinggi. Jadi, boleh dikatakan keadaannya agak kritikal.
“Saya dapat tahu daripada ibu, nak tanya lebih pun tak boleh sebab mereka sibuk. Saya tidak boleh melawat kerana hamil,” katanya kepada BH Online.
Tambah Nik, dia dan keluarga mohon orang ramai mendoakan baik-baik buat bapa saudaranya.
“Saya harap Uncle Rahim segera sedar sebab kita pun sudah nak raya, jadi sedih bila dengar berita sebegini.
“Ibu saya sedih, malah seluruh keluarga bersedih bila dapat tahu. Jadi, kami mendoakan Uncle Rahim kembali sedar secepat mungkin, insya-Allah.
“Uncle Rahim dan ibu saya adalah sepupu. Mereka membesar bersama. Kami pun sudah lama tak jumpa, tetapi sebelum ini, saya tahu Uncle Rahim sihat sahaja.
“Memang ada rancang nak bertemu dengan Uncle Rahim pada bulan puasa ini, tetapi sedih bila dapat berita begini,” katanya.
Rahim yang popular sekitar 1980-an dan 1990-an dikenali dengan lagu seperti Usang, Cinta Kristal dan Shakila.
Sebelum ini, Rahim bebas bergelar perokok tegar atas kesedaran mahu memiliki gaya hidup lebih sihat.
Berkongsi mengenai perubahannya itu, Rahim mula mengambil inisiatif selepas mengalami batuk teruk sekitar 2018.