Rogol pelakon, bekas penerbit filem dipenjara 16 tahun

Rogol pelakon, bekas penerbit filem dipenjara 16 tahun

Bekas penerbit filem terkenal Hollywood Harvey Weinstein dijatuhi hukuman tambahan 16 tahun penjara kerana merogol.

Memetik Awani, Weinstein disabitkan bersalah menyerang seorang pelakon di dalam bilik hotel semasa festival filem di bandar itu pada Februari 2013.

Beberapa saat sebelum dijatuhi hukuman, dia merayu agar diberi kelonggaran daripada hakim mahkamah Los Angeles.

“Tolong jangan hukum saya penjara seumur hidup, saya tidak sewajarnya dihukum,” kata bintang Hollywood itu kepada mahkamah.

Lebih 80 mangsa membuat dakwaan rogol dan salah laku terhadap Weinstein atas kesalahan yang dilakukannya sejak akhir 1970-an.

Bekas penerbit berusia 70 tahun itu sudah menjalani hukuman penjara 23 tahun untuk sabitan berasingan di New York.
Sebelum menjatuhkan hukuman pada Khamis, Weinstein menegaskan dia tidak bersalah dan mendakwa ‘diperangkap’.

Pada 19 Disember, juri Los Angeles mensabitkan Weinstein atas satu pertuduhan merogol dan dua pertuduhan serangan seksual yang melibatkan seorang model dan pelakon.

Pada 2020, Weinstein dijatuhi hukuman penjara 23 tahun kerana merogol dan melakukan serangan seksual terhadap pembantu produksi pada 2006 dan bakal pelakon pada 2013.

Dia telah membuat rayuan terhadap sabitan itu.

Sabitan terhadap Weinstein dilihat sebagai satu peristiwa penting dalam pergerakan #MeToo yang membawa isu penderaan dan gangguan seksual yang berleluasa dalam industri filem dan televisyen.