Royalti Petroleum : MB Terengganu kata dah terima RM405j

Royalti Petroleum : MB Terengganu kata dah terima RM405j

Kerajaan Terengganu hanya menerima sebanyak RM405 juta bayaran dana khas (wang ehsan) dari Kerajaan Persekutuan dalam tempoh Disember 2022 hingga September 2023 dengan jumlah enam kali pembayaran.

Memetik Sinar Harian, Menteri Besarnya, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menyatakan jumlah berkenaan adalah berbeza berbanding anggaran dana khas dalam belanjawan tahun 2023 iaitu lebih RM1.5 bilion.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Hilmi Harun (Pas-Manir) mengenai jumlah bayaran dana khas (royalti) yang telah diterima oleh kerajaan negeri dalam tempoh Disember 2022 hingga September 2023 pada Persidangan Dewan Undagan Negeri (DUN) Terengganu, di sini pada Selasa.

Sementara itu, menjawab soalan Khazan Che Mat (Bersatu-Seberang Takir) mengenai jumlah lima peratus hasil petroleum yang diterima oleh kerajaan negeri pada tahun 2022, Ahmad Samsuri berkata, pihaknya hanya menerima hasil wang ehsan berjumlah RM1,39 bilion daripada Kementerian Kewangan.

Menurutnya, jumlah lima peratus hasil petroleum yang sepatutnya dibayar kepada Kerajaan Negeri Terengganu oleh Petronas telah dibayar terus kepada Kementerian Kewangan Malaysia dan iperakaunkan di bawah Akaun Amanah Dana Khas Kerajaan Persekutuan Seksyen 9 Akta Tatacara Kewangan 1957.

“Akaun amanah tersebut dikawal selia oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan di bawah Kumpulan Wang Disatukan Persekutuan,” ujarnya.

Menjawab soalan Ir Saiful Azmi Suhaili (Pas-Kemasik) dan Zaharudin Zaid (Pas – Bukit Tunggal) berkenaan usaha dan perancangan kerajaan negeri dalam menjana pendapatan baharu negeri bagi mengurangkan kebergantungan terhadap royalti petroleum, Ahmad Samsuri memaklumkan perkara tersebut adalah fokus utama kerajaan negeri ketika ini.