Rugi RM70,000, warga emas disamun depan bank

Rugi RM70,000, warga emas disamun depan bank

 

Seorang warga emas mengalami kerugian bernilai lebih RM70,000 selepas hasil jualan perniagaan runcitnya disamun.

Wang tunai bersama dua telefon bimbit

Menerusi laporan Berita Harian, mangsa yang merupakan seorang lelaki berusia lewat 60-an itu telah dirompak kira-kira jam 10.45 pagi Isnin.

Menurut Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud, mangsa ketika itu sedang menunggang motosikal ke sebuah bank bagi mendepositkan wang hasil jualannya sebelum dihampiri oleh seorang lelaki yang menunggang motosikal.

Suspek terus mencapai beg plastik hitam dalam bakul motosikal mangsa yang mengandungi sejumlah wang tunai dan dua telefon bimbit.

Mangsa tidak sempat mengecam nombor pendaftaran motosikal suspek dan tampil ke Balai Polis Kota Bharu untuk membuat laporan, tengah hari tadi.

Kes kini akan disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan dan jika disabitkan kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga 14 tahun serta denda atau sebat.