Rundingan dengan pengilang beras sudah dibuat, jualan FAMA bakal dilancar dalam masa terdekat, kata Mahfuz

Rundingan dengan pengilang beras sudah dibuat, jualan FAMA bakal dilancar dalam masa terdekat, kata Mahfuz

 

Kabinet Kerajaan Perpaduan diharap dapat memberi perhatian kepada penyelesaian isu bekalan beras putih tempatan pada ketika ini.

Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Datuk Mahfuz Omar berkata, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) kini sedang menangani isu berkenaan dan rundingan telah dibuat khususnya dengan pengilang untuk mengeluarkan bekalan beras putih tempatan yang dijual dengan harga RM2.60 sekilogram.

Katanya, dalam sehari dua ini, akan bermula jualan di peringkat awam yang akan dikendalikan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) untuk mengeluarkan beras kepada orang ramai dan memastikan ia berada di pasaran.

Beliau menyifatkan, ia sebagai satu langkah jangka pendek yang boleh dilakukan oleh kerajaan khususnya pihak kementerian, namun kerajaan juga perlu melihat secara keseluruhan kerana harga padi telah dinaikkan sehingga RM1,700 per metrik tan.

“Sudah tentu agak sukar bagi pengilang pemproses menjadikan beras tempatan pada kadar harga sedia ada dan mereka sudah tentu terbeban dengannya.

“Tetapi, sudah tentulah harga RM1,700 itu sangat menguntungkan golongan petani padi kerana mendapat harga yang tinggi ketika ini dengan subsidi padi berjumlah RM500.

“Ini bermakna lebih daripada RM2,000 mereka peroleh sekarang ini untuk satu tan metrik.

“Jadi, saya lihat kerajaan perlu menangani masalah ini dan orang ramai harus melihat bahawa kadar kemampuan pengilang juga perlu diambil kira kerana kemampuan pengilang untuk mengusahakan pengeluaran beras pada kadar harga sedia ada, sedang harga padi itu telah dibeli dengan begitu tinggi.

“Sudah tentu mereka tidak lagi mampu untuk mengeluarkan beras seperti itu. Rakyat selaku pengguna perlu memahami antara kerajaan dan pengilang.

“Kerajaan telah memperuntukkan subsidi yang begitu besar kepada petani, dan subsidi yang lain kepada pengguna, jadi perlu dilihat dalam konteks situasi ‘menang-menang’.

“Justeru, kita berharap kerajaan bukan sahaja pihak kementerian, tetapi keseluruhan anggota Kabinet untuk memberi perhatian kepada penyelesaian sebenar masalah beban yang ditanggung pengguna dan pengilang,” katanya ketika dihubungi Harapan Daily, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai usaha kerajaan dalam menangani isu bekalan beras putih tempatan di negara ini memandangkan LPP juga berada di bawah KPKM.

Semalam KPKM memaklumkan, sesi libat urus yang telah dijalankan bersama pihak pengilang, pemborong dan peruncit menunjukkan hasil apabila mereka bersetuju memberikan komitmen bagi merealisasikan pelaksanaan Program Khas Beras Putih Tempatan (PKBPT) di seluruh negara.

Menurut kenyataan itu, PKBPT sedang dilaksanakan oleh KPKM melalui dua fasa bermula 8 September 2023 dan 15 September 2023 dan melalui PKBPT, pengilang akan meningkatkan pengeluaran sebanyak 20 peratus bekalan BPT (23,000 mt sebulan) untuk pasaran dalam negara bagi tempoh satu tahun.

KPKM memaklumkan, langkah intervensi itu bertujuan memastikan bekalan BPT dapat memenuhi keperluan pengguna dan menjamin kestabilan bekalan BPT di pasaran.

“Dalam masa yang sama, pihak FAMA dan LPP turut dilibatkan bagi tujuan pengedaran BPT kepada kumpulan sasar terutama di kawasan yang tidak mempunyai kemudahan pasar raya.

“Manakala, pemantauan dan penguatkuasaan keseluruhan rantaian PKBPT ini akan dilakukan oleh pihak KPKM melalui Kawalselia Padi dan Beras (KPB) dengan kolaborasi strategik OP JAMIN bersama Bahagian Penguatkuasa, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN),” maklum kenyataan itu lagi.