Rupanya ada negara lain yang mengalami situasi lebih rumit daripada negara kita, baca catatan terkini pengamat politik ini

Rupanya ada negara lain yang mengalami situasi lebih rumit daripada negara kita, baca catatan terkini pengamat politik ini
Kevin McCharty belum dapat cukup undi untuk jadi speker

3 Januari adalah hari pertama Dewan Perwakilan (Kongres) baharu di Amerika. Parti Republikan memiliki majori dengan 224 ahli. Di hari pertama persidangan, mereka kena memilih speker yang perlu memenangi 218 undi.

Kevin McCharty adalah ketua Parti Republikan di dalam Kongres. Di dalam budaya politik mereka, ahli-ahli politik boleh membentuk pelbagai puak (conference) berdasarkan ideologi politik masing-masing. Contohnya di dalam Parti Republikan ada Freedom Conference yang merupakan pihak konservatif berhaluan kanan.

Untuk menjadi Speker, Kevin McCharty perlu mendapatkan sokongan sekurang-kurangnya 218 undi. Hari ini, walaupun Parti Republikan mempunyai bilangan perwakilan yang lebih ramai, selepas 3 kali mengundi, Kevin McCharty belum mendapat undi yang cukup. 20 orang wakil Parti Republikan mengundi orang lain selain dari Kevin.

Tanpa perlantikan Speker, kesemua agenda Kongres terhenti. Ahli Dewan Perwakilan pun tak boleh mengangkat sumpah. Persidangan terpaksa ditangguh bagi memberikan peluang wakil-wakil Parti Republikan untuk berunding lagi.

Ini adalah pertama kali di dalam 100 tahun Kongres gagal melantik Speker di hari pertama. Ini memberi gambaran yang buruk ke atas Parti Republikan. Di dalam sistem mereka, Kongres akan membentuk pelbagai undang-undang untuk mentadbir Amerika. Sekiranya Speker tidak mempunyai undi yang cukup, bagaimana dia akan menentukan undang-undang penting termasuk bajet Amerika boleh diluluskan di masa hadapan.

Satu perkara yang menarik ialah tidak ada pun desas desus mana-mana ahli Kongres yang nak melompat. Inilah kumpulan manusia yang dianggap jahat oleh manusia-manusia suci di tempat lain. Yang peliknya, orang “jahat” lebih bermaruah dan kekal dengan pihaknya sedangkan manusia-manusia suci masih berusaha untuk membeli orang-orang itu dan ini untuk merebut kuasa.

Kita nantilah sampai bila Kongres Amerika akan tergantung seperti ini.

Memerhati gelagat ahli-ahli politik dan memahami sikap dan perangai mereka menjadi kaedah saya menambahkan kefahaman di dalam bidang yang amat kompleks dan dinamik ini. Jangan sia-siakan peluang untuk belajar.

Sumber – FB Nik Hasyudeen