Rupanya ini kisah di sebalik PMX ucap selamat datang kepada Coldplay

Rupanya ini kisah di sebalik PMX ucap selamat datang kepada Coldplay

 

PERDANA Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan selamat datang kepada kumpulan muzik popular Britain, Coldplay yang akan mengadakan konsert pertamanya di Malaysia tidak lama lagi.

“Selamat Datang ke Kuala Lumpur,” ciapnya ringkas menerusi Twitter pada Selasa pagi.

Ciapannya itu disambut baik oleh netizen yang turut tidak sabar menantikan persembahan kumpulan popular itu.

Konsert jelajah The Music Of The Spheres World Tour akan diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 22 November.

Selain di ibu kota, Coldplay dijangka beraksi di Tokyo, Kaohsiung, Jakarta dan Perth pada November.

Antara lagu popular Coldplay adalah Paradise, The Scientist, Fix You dan Yellow.

Tiket konsert Coldplay November di Kuala Lumpur akan mula dijual pada 17 Mei bermula 10 pagi di http://www.livenation.my.

Dalam pada itu, rakyat Malaysia turut meluahkan rasa teruja dengan penganjuran konsert itu menerusi media sosial.

Coldplay yang sumbang mesin kutip sampah di Sg Klang

Kumpulan muzik ternama dari United Kingdom, Coldplay sebelum ini pernah menaja mesin memerangkap sampah sungai “Interceptor 005” di Sungai Klang pada tahun 2022.

Coldplay pada tahun itu mengumumkan kolaborasi mereka dengan pertubuhan tidak berasaskan keuntungan Belanda, The Ocean Cleanup, dalam usaha mencegah sampah dan pencemaran daripada masuk ke laut.

Agensi antarabangsa melaporkan, Coldplay menyumbang AS$777,000 (RM3.2 juta) bagi jentera tersebut.

Difahamkan, itu adalah “Interceptor” kedua beroperasi di Malaysia selepas Interceptor 002 yang beroperasi di Sungai Klang pada Ogos 2019 lalu.

“Jika tiada tindakan, mungkin akan lebih banyak plastik daripada ikan di lautan pada tahun 2050. Maka sebab itulah kerja The Ocean Cleanup sangat penting.

“Kami bangga menaja Interceptor 005 yang akan memerangkap ribuan tan sampah sungai sebelum sampai ke lautan, ” kata mereka dalam satu kenyataan berhubung tajaan itu.

Menurut Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif The Ocean Cleanup, Boyan Slat, Malaysia adalah negara pertama yang akan menerima Interceptor 005.

Tajaan itu dipercayai membuatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengalu-alukan kedatangan kumpulan muzik tersebut yang akan ke Malaysia pada November depan.