Rupanya ini punca kenapa orang kanan Peja umum sokong PMX

Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid membuat keputusan untuk menyokong pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkuat kuasa pada Khamis.
Menurut wakil rakyat daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu, pendekatan tersebut diambil setelah meneliti rintihan berterusan pengundi dan menitikberatkan keperluan mendesak untuk menangani masalah krisis kenaikan kos sara hidup yang melanda kawasannya.
“Keputusan saya juga bertujuan menilai sama ada Perdana Menteri (Anwar) adalah ikhlas dan akan mengotakan janjinya bahawa peruntukan akan disalurkan kepada sesiapa ahli parlimen yang menyokong dasar-dasar Kerajaan Perpaduan.
“Saya percaya ekonomi negara perlu ditingkatkan demi kemakmuran negara dan kesejahteraan rakyat. Oleh yang demikian, saya menyokong Perdana Menteri atas apa-apa usaha yang dilakukan untuk mengukuhkan ekonomi negara,” katanya, memetik Sinar Harian.
Tegas Iskandar Dzulkarnain, meskipun membuat keputusan untuk menyokong kepimpinan kerajaan ketika ini, namun beliau tidak akan tinggalkan apatah lagi khianati Bersatu dalam apa jua keadaan atas prinsip taat dan setia kepada parti.
Malah, beliau dalam masa sama juga bersedia dengan sebarang kemungkinan termasuk berdepan dengan risiko sebarang tindakan disiplin oleh partinya.
Ini kerana katanya, beliau tidak sanggup melihat pengundi di kawasannya terus terbiar dan ketinggalan hanya semata-mata kerana perbalahan naratif politik.