Rupanya ini rahsia nak pastikan kerepek kentang pedas kekal rangup, lepas ni tak lemau lagi

Rupanya ini rahsia nak pastikan kerepek kentang pedas kekal rangup, lepas ni tak lemau lagi

 

Seorang wanita berjaya mencuri perhatian orang ramai selepas membuat satu perkongsian mengenai Kerepek Kentang Pedas di akaun Facebook miliknya.

Mana tidaknya, wanita berkenaan telah membongkarkan rahsia untuk memastikan kerepek yang disediakan sendiri di rumah itu akan kekal rangup dalam tempoh lebih lama.

Tidak perlu lagi membeli kerepek dijual di pasaran yang harganya kian meningkat di saban hari, wanita bernama  Mazidah Mohamed itu sedia untuk menghalalkan ilmunya.

“Pernah tanya tauke kedai yang jual Kerepek Kentang sedap di tempat saya ini. Minta petua nak bagi rangup kentang itu. Tetapi dia enggan membocorkan rahsianya.

“Saya cuba intai-intai (resepi kerepek) di sosial media. Kebetulan kentang banyak di rumah. Dengan gigihnya buat juga. Nampak mudah tetapi agak renyah rupanya.” Katanya.

1. Langkah pertama membuat kerepek ini adalah cuci dan dan kupas kulit kentang. Kemudian, parutkan kentang dengan nipis-nipis. Kemudian cuci semula sambil meramas-ramas hirisan tersebut.

2. Sediakan air yang menggelegak dan rebus hirisan kentang tersebut dalam tempoh 10 minit. Kemudian, masukkan hirisan yang telah direbus ke dalam sebekas air sejuk.

3. Rendam dalam masa 10 minit. Kemudian toskan sehingga airnya menjadi agak-agak kering sebelum digoreng dalam minyak panas seperti biasa mengikut selera.

4. Untuk sambal, petuanya seperti memasak sambal biasa tetapi jangan masukkan bawang merah. Hanya kisarkan bahan seperti bawang putih, halia dan lada kering.

5. Semasa memasak sambal, jangan lupa untuk masukkan gula dan garam mengikut selera anda. Setelah siap memasak, rehatkan seketika hingga sambal sejuk sedikit.

6. Kemudian, sambal tumis tersebut sudah boleh dicurahkan ke atas kerepek kentang yang telah anda goreng sebentar tadi. Gaul sehingga kerepek sebati dengan sambal.