RUU 355, kenapa MP UMNO yang lebih peka berbanding MP Pas?

Ahli Parlimen UMNO hari ini mengejutkan sidang Dewan Rakyat apabila bangkit bertanyakan usaha kerajaan mengusulkan Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) atau dikenali sebagai RUU 355 untuk dibentang di dalam parlimen.
Dengan nada kecewa, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub (BN-Machang) memohon penjelasan menteri terlibat sebagai pencerahan kepada rakyat yang masih tertanya-tanya mengenai perkara yang begitu kuat dibangkitkan kelompok tertentu sebelum ini.
“Saya terpanggil untuk bertanya kepada pihak kerajaan kerana setiap kali saya balik ke kawasan, rakyat di Kelantan terutamanya akan bertanya apa dah jadi dengan RUU 355 ini.
“Hilang di mana, masih ada dalam radar atau sudah hilang dari (dan) adakah kerajaan benar-benar berhasrat untuk membawa ke dewan yang mulia ini atau tidak, sialnya seperti dilaporkan portal akhbar Sinar Harian.
“Ini perlu dijawab (oleh kerajaan) kerana janji ini ada hubung kait dengan agama. Kita berjanji atas dasar agama dan jadi tanggungjawab kita (tunai) apabila berjanji kepada rakyat,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan (Bajet) 2022 di Dewan Rakyat pada Rabu.
Ujar Ahmad Jazlan, beliau secara peribadi memberi jaminan akan turut mengambil bahagian dalam perbahasan jika ia dibentangkan di Dewan Rakyat nanti.
Sebelum ini tular satu video melibatkan Timbalan Presiden Pas ketika menyampaikan ucapan perasmian dalam satu mesyuarat agung kawasan partinya. Antara lain dia menyuarakan kesukaran Pas dalam menunaikan tuntutan perlaksanaan RUU 355 ini. Ianya berbeza sewaktu Pas menjadi pembangkang, katanya lagi.