Saarani akhirnya sahkan ada tangkapan berkaitan perlombongan haram unsur nadir bumi

Kerajaan Perak mengesahkan ada tangkapan dibuat oleh pihak polis berkaitan perlombongan haram unsur nadir bumi bukan radioaktif (NRREE) di negeri ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad mengesahkan perkembangan tersebut namun menyerahkan perkara itu kepada pihak polis.
“Ada (tangkapan) tapi oleh kerana ia kes polis saya tidak mahu komen apa-apa. Polis lebih tahu, di mana, berapa orang dan apa mereka buat. Itu terserah kepada polis, tidak adil untuk saya membuat kenyataan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Anugerah Kecemerlangan Anak Angkat Cikgu Saarani dan Program Transisi Ke Arah Perak Sejahtera yang merupakan inisiatif di bawah program Tuisyen Cikgu Saarani (TCS) di sini hari ini.
Pada minggu lalu, Saarani memberitahu laporan polis ada dibuat berhubung aktiviti haram tersebut kerana hasil dalam bumi adalah milik kerajaan negeri.
Jelasnya, Perak memantau usaha mengeluar dan mengeksport NRREE lantanida secara haram di negeri itu ekoran permintaan tinggi dalam pasaran.
Katanya, proses mengeluarkan unsur tersebut dengan mudah menyebabkan ada pihak mahu mengambil kesempatan mengekstrak hasil bumi berkenaan tanpa mengikut undang-undang.
Saarani berkata, unsur hasil bumi adalah milik kerajaan negeri dan setiap aktiviti pengeluaran sumber itu tertakluk kepada keputusan serta lesen oleh pihak berkuasa.
Sementara itu, Saarani berkata, kerajaan negeri melalui Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan telah memperuntukkan 35 unit komputer riba dan 115 unit fon kepala kepada para pelajar.
Agihan itu adalah bagi 150 pelajar sebagai penggalak semangat dan motivasi untuk mereka menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia 2023 yang akan berlangsung tidak lama lagi.
Bercakap kepada pemberita juga, Menteri Besar itu turut memaklumkan pihaknya semalam ada bertemu dengan pengurusan tertinggi syarikat automotif China, Geely bagi membincangkan rancangan pelaburan mereka di Tanjung Malim.
Dilaporkan sebelum ini syarikat itu meletakkan komitmen untuk bersama melabur mencecah lebih RM30 bilion yang sekali gus menjadikan kawasan selatan Perak tersebut sebagai lembah automotif negara.