Saarani bagi nasihat pada Adun BN, PH, jangan buat kerja bodoh nak letak jawatan

Saarani bagi nasihat pada Adun BN, PH, jangan buat kerja bodoh nak letak jawatan

 

Meskipun empat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) meletak jawatan, hasrat pembangkang untuk membentuk kerajaan baharu di Perak tetap tidak akan tercapai.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, ini kerana gabungan Barisan Nasional (BN) – Pakatan Harapan (PH) masih berkelebihan sekurang-kurangnya satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sekiranya ada kerusi dikosongkan.

“Apabila empat kerusi DUN diisytihar kosong dan perlu pilihan raya semula, saya akan letak balik empat calon daripada gabungan BN-PH.

“Ada kemungkinan juga saya (BN-PH) menang semula di dua daripada empat kerusi kosong terbabit, maka dengan itu, kita balik jadi kerajaan semula. Jadi buat apa buat kerja bodoh macam itu (letak jawatan)? Lebih baik kekal (kerajaan semasa).

“Kalau (memang) ada empat (Adun) kerajaan yang terkesima atau teruja dengan mana-mana tawaran, fikirlah banyak kali, sebab apabila kamu lompat parti, maka kamu gugur sebagai Adun dan sudah tidak boleh bertanding lagi.

“Elok-elok dapat elaun RM11,000 sebulan sebagai Adun, kemudian letak jawatan. Kena cerdik lah… kita sebagai orang politik, jangan mudah-mudah termakan ya (tawaran),” katanya yang ditemui Harian Metro di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri MK Land dan pelancaran Jualan Rumah Teres Setingkat Carnelian 2 di Taman Meru Perdana 2, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas khabar angin bahawa kerajaan negeri Perak akan bertukar pada Julai ini, susulan dakwaan empat Adun dalam kerajaan perpaduan yang akan meletak jawatan.

Saarani mengaku mengetahui desas-desus ada pihak mahu menggulingkan kerajaan negeri sejak tiga minggu lalu, namun menegaskan perkara itu tidak mungkin berlaku.

Beliau juga mengadakan pertemuan dengan lapan lagi Adun BN Perak dan mengesahkan tiada wakil rakyat yang ‘tertarik’ untuk berpaling tadah.

“Jadi Insya-Allah kerajaan ini akan kukuh sehingga tamat tempoh,” katanya.

Kerajaan Perak ditubuhkan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu dengan gabungan 24 Adun PH bersama sembilan Adun BN.

PRU15 menyaksikan Perikatan Nasional memenangi 26 kerusi DUN namun tidak cukup untuk membentuk kerajaan Perak yang memerlukan sekurang-kurangnya 30 kerusi.