Sadis! Lelaki OKU diliwat dalam kebun sayur

Sadis! Lelaki OKU diliwat dalam kebun sayur

 

Malang menimpa seorang lelaki kurang upaya (OKU) apabila menjadi mangsa liwat dalam kejadian di kebun sayur dekat sini pada Sabtu.

Mangsa berusia 28 tahun yang mengalami lemah intelektual dipaksa melakukan persetubuhan luar tabii dalam sebuah pondok di kawasan kebun berkenaan sekitar jam 3.30 petang.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Mohamad Roy Suhaimi Sarif berkata, suspek yang merupakan kenalan mangsa dikatakan telah menawarkan diri untuk menghantar mangsa pulang ke rumah sebelum membawanya ke tempat kejadian.

“Polis menerima laporan kejadian itu jam 4.32 petang pada Ahad.

“Bertindak atas maklumat, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Gajah berjaya melakukan penangkapan terhadap suspek semalam (Isnin) untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Selasa.

Beliau berkata, dalam penahanan sekitar jam 11.30 pagi itu, polis turut merampas sebuah kereta dan telefon bimbit.

Menurutnya, suspek berusia 36 tahun dan tidak bekerja telah direman selama lima hari sehingga 6 Mei ini bagi siasatan di bawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi polis atau pegawai penyiasat, Inspektor Nurhidayah Omar di talian 013-3976564 untuk membantu siasatan,” katanya.