Sah! Tun M, 11 MPT keluar Pejuang
Bekas pengerusi Pejuang Dr Mahathir Mohamad keluar parti itu, bersama beberapa lagi anggotanya.
Memetik Malaysiakini, perkara itu dimaklumkan menerusi surat bertarikh 10 Februari (hari ini) kepada Setiausaha Agung Pejuang Amiruddin Hamzah, seperti yang dikongsi bekas timbalan presiden Marzuki Yahya di Facebook.
Marzuki bersama 11 lagi anggota lain turut keluar dari parti itu.
Menurut surat itu, mereka mengambil keputusan tersebut selepas Pejuang bertindak keluar dari Gerakan Tanah Air (GTA).
“Keputusan Pejuang memutuskan hubungan dengan GTA secara langsung menyingkir kami dari kekal sebagai ahli apabila kami bertindak meneruskan perjuangan di atas landasan GTA.
“Bagi kami, matlamat perjuangan GTA adalah untuk menyatupadukan parti-parti Melayu, badan-badan bukan kerajaan dan juga orang perseorangan yang berprinsip dan berpegang kepada perjuangan untuk membela agama, bangsa dan tanah air.
“Di atas kesedaran ini, kami memilih untuk meneruskan perjuangan itu melalui GTA,” menurut surat itu.