Saifuddin dedah MP Pro Muhyiddin dapat peruntukan lebih RM 3.5 juta setiap parlimen

Saifuddin dedah MP Pro Muhyiddin dapat peruntukan lebih RM 3.5 juta setiap parlimen

Parlimen Indera Mahkota sudah membelanjakan sebanyak RM3.5 juta untuk penduduk sekitar kawasan berkenaan bermula Jun tahun lalu sehingga penghujung tahun ini.

Ahli Parlimennya, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, perbelanjaan tersebut membabitkan kebajikan, prasarana dan kos mengurus seperti program atau aktiviti yang dilaksanakan di kawasan berkenaan.

“Sebanyak 40 peratus digunakan untuk kebajikan, manakala 29 peratus pembiayaan prasarana dan 31 peratus melibatkan perbelanjaan mengurus dengan mengadakan pelbagai program dan aktiviti penduduk,” katanya pada sidang akhbar pembentangan kad laporan Parlimen Indera Mahkota yang berlangsung secara maya di sini pada Sabtu.

Saifuddin berkata, perbelanjaan mengurus pula terdapat beberapa pecahan seperti kerohanian sebanyak 21.2 peratus, kebajikan (12 peratus), persatuan dan pertubuhan bukan kerajaan (33.1 peratus) serta pendidikan (30 peratus) dengan penggunaan peruntukan lebih RM1 juta.

Beliau berkata, perbelanjaan dalam pengurusan Covid-19 pula membabitkan peruntukan sebanyak RM950,000 yang akan digunakan bagi membantu penduduk terjejas.

Daripada jumlah itu, katanya, sebanyak RM500,000 telah digunakan merangkumi bantuan makanan dan penyediaan peralatan untuk barisan hadapan ketika bermulanya pandemik tersebut.

“Peruntukan itu telah digunakan dengan mengagihkan cecair pembasmian kuman di sekolah, pelitup muka, membuat peralatan perlindungan diri (PPE) untuk petugas, mengadakan kempen kesedaran, menyediakan dua van bagi kemudahan penduduk ke pusat pemberian vaksin dan sebagainya,” ujar beliau.

Saifuddin yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata, beliau turut menerima sumbangan sebanyak RM150,000 daripada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, manakala terbaharu sebanyak RM300,000 bagi program Bantuan Bakul Makanan menerusi Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih).

“Bantuan di bawah Pemulih melibatkan bakul makanan dan akan mula digerakkan selewat-lewatnya minggu hadapan bagi membantu mereka yang terkesan dalam tempoh pandemik ini.

“Peruntukan dan sumbangan yang masih berbaki akan disalurkan secepat mungkin kepada penduduk sehingga ke penghujung tahun ini,” tambah beliau.

Sumber – SinarHarian