Saifuddin kata Sanusi biadab, suka salahkan orang lain

Saifuddin kata Sanusi biadab, suka salahkan orang lain

 

Kerajaan menganggap Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor sebagai “biadab” dan gagal mengawal tingkah laku sebagai ketua kerajaan nevgeri.

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata sangat tidak wajar pemimpin PAS terbabit mencadangkan pegawai perdana menteri ditukarkan hanya kerana menganggap ada Little Napoleon di situ.

Menurut Saifuddin untuk memulihkan ketegangan di antara kerajaan negeri dan Putrajaya, Sanusi sepatutnya menghentikan perbuatan menyalahkan orang lain kerana masalah itu dimulakan olehnya sendiri.

“Sanusi menyalahkan pegawai kerajaan yang dilabel Little Napoleon kononnya menjadi punca masalah dia dengan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

“Semua orang tahu isu sebenar iaitu yang menimbulkan masalah ialah Sanusi apabila dia mereka-reka tuduhan tidak benar.

“Misalnya, dia hebahkan tak dijemput ke mesyuarat Majlis Kewangan Negara walhal Sanusi ternyata hadir semasa meyuarat tersebut. Sudah jelas dia hadir sebab dijemput.

“Sanusi malah biadab mencadangkan perdana menteri menukar pegawai yang dilabelnya sebagai Little Napoleon. Perdana menteri tak perlu tukar pegawai sebaliknya Sanusi kena jaga decorum (tingkah laku) apabila hadir mesyuarat yang melibatkan rahsia negara,” katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Wajar contohi MB lain

Tambah Setiausaha Agung PKR itu lagi hanya dengan cara itu hubungan yang harmoni di antara kerajaan Kedah dan Putrajaya dapat dibentuk.

Hubungan di antara Sanusi dengan Anwar memang tidak baik dan ia lebih ketara selepas terbentuknya kerajaan pusat selepas PRU ke-15 pada Nov tahun lalu.

Melalui klip video pendek yang ditularkan Sanusi juga pernah dilihat bercerita secara terbuka mengenai apa yang berlaku dalam mesyuarat membabitkan dia dan Anwar serta pegawai kanan kerajaan.

Anwar malah mengemukakan saman RM10 juta ekoran ucapan dibuat Sanusi semasa berkempen menjelang PRU ke-15 di Tambun pada 13 Nov 2022.

Sanusi juga mendakwa dia tidak dijemput menghadiri Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi (Lima) 2023, selain menguar-uarkan dia akan disingkirkan dari Majlis Kewangan Negara.

Bagaimanapun semalam media melaporkan Pengarah Pilihan Raya PN itu mendakwa dia tidak menghadapi sebarang masalah dengan Anwar sebaliknya hubungan mereka terjejas oleh peranan Little Napoleon yang ada di Pejabat Perdana Menteri.

Kenyataan itu dibuat menjelang berlangsungnya Rumah Terbuka Malaysia Madani yang menyaksikan Anwar dan pemimpin kerajaan berkunjung ke Alor Setar.

Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah, sudah mengesahkan untuk berkenan menghadiri majlis berkenaan.

Saifuddin berkata untuk melihat sendiri tindak-tanduk Sanusi, orang ramai boleh menilainya sendiri berdasarkan komen Adun Jeneri terbabit terhadap majlis Anwar dan ia berbeza berbanding pemimpin PAS Kelantan dan Terengganu.

Komen Sanusi, kata Saifuddin, jelas lebih bersifat mengecam bukannya mengalu-alukan urusan kerajaan pusat dan ia berlawanan dengan semangat persaudaraan sempena hari raya

“Sanusi wajar mencontohi Menteri Besar Perlis, Kelantan dan Terengganu. Kita boleh berbeza tetapi masih tetap saling menghormati,” katanya.