Saifuddin pertahan Salahuddin, dakwa Loke tersalah faham

Saifuddin pertahan Salahuddin, dakwa Loke tersalah faham

Pakatan Harapan (PH) menimbang untuk bekerjasama dengan parti pembangkang lain sekiranya gabungan itu benar-benar merasakan tidak mampu menewaskan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, itu merupakan satu daripada enam ketetapan yang dipersetujui kepimpinan PH ketika mengadakan ‘retreat’ di Port Dickson, tahun lalu.

“Reaksi setiap pimpinan itu berbeza (berhubung kerjasama khemah besar), tetapi saya berpegang kepada ketetapan keputusan resolusi temu rapat dahulu, hendak kata apa sekalipun kita masih berpandu kepada apa yang disepakati dahulu.

“Jadi pendekatan itu adalah PH sedia berbincang dengan semua pihak. Semua pihak itu pula boleh jadi sesiapa sahaja, berbincang dengan semua.

“Kita ‘register’ dahulu untuk sedia ambil pendekatan terbuka dan berbincang, itu adalah satu kenyataan yang ‘open ended’ dan itu adalah ayat asal dalam resolusi berkenaan,” katanya dalam sidang akhbar di Hotel Grand Paragon, di sini pada Jumaat.

Beliau mengulas pendiriannya berhubung kemungkinan kerjasama antara PH dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas menerusi inisiatif khemah besar bagi menghadapi PRU15.

Beberapa kepimpinan parti komponen PH sebelum ini dilihat berbeza pendapat berhubung penglibatan Pas dan Bersatu dalam konsep khemah besar yang dipelopori mereka.

Semalam, Setiausaha Agung DAP menyelar kenyataan Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Seri Salahuddin Ayub menggesa perbincangan diadakan dengan kedua-dua parti itu dan menganggapnya sebagai kenyataan peribadi pemimpin tersebut.