Salah satu tips untuk jadi cantik adalah makan burung merpati yang digoreng kunyit ketika cuaca sejuk, benarkah?

Salah satu tips untuk jadi cantik adalah makan burung merpati yang digoreng kunyit ketika cuaca sejuk, benarkah?

 

PETUA untuk kelihatan cantik yang dikongsikan oleh seorang wanita di X (Twitter) baru-baru ini menarik perhatian ramai.

Menerusi posting oleh Unna Delanadia berkongsi dua swafotonya berwajah jelita, juga hidangan nasi putih bersama kacang botol, budu dan burung merpati goreng kunyit.

Perkongsiannya itu bagaimanapun mengundang kecaman kerana ada warganet menganggap haiwan itu tidak patut dimakan dan akann menyebabkan pasangan merpati hidup merana.

“Merpati ni burung yang monogamous (satu pasangan sepanjang hayat).

“Kalau pasangan dia mati (dalam hal ni kena makan dengan kau), pasangan yang hidup akan meroyan dan merana sepanjang hayatnya disebabkan kehilangan pasangan,” tulis pelayar tersebut.

Selain itu, terdapat beberapa warganet yang turut mempersoalkan kenapa burung merpati menjadi pilihan untuk dimakan.

Bukan itu sahaja, ada juga netizen berkongsi hasil carian di internet menyatakan haiwan tersebut tidak sesuai untuk dimakan kerana ia disamakan dengan ‘tikus di langit’.

“Bukan ke merpati ni dipanggil rat of the sky sebab ia merupakan haiwan pembawa pelbagai jenis penyakit,” tulisnya.

Menyedari perkongsiannya kurang disenangi sesetengah pihak, Unna tampil sekali lagi menjelaskan mengenai perkara itu dalam hantaran sama.

Jelasnya, dia makan burung merpati sejak kecil lagi yang mana haiwan itu dipelihara oleh bapanya dan sudah menjadi lauk biasa yang dimakan dengan nasi.

Unna, yang dipercayai berasal dari Kelantan ini turut memaklumkan bahawa daging merpati lebh sedap berbanding ayam dan itik.

“Makan burung merpati pun ada orang nak bitter (marah) ke. Bukannya haram pun makan burung merpati. Saya rasa yang bitter ni semua orang bandar. Acah gelilah apalah.

“Konsep dia sama macam burung puyuhlah, kau pelihara (sebelum makan). Ada juga kau sembelih ambil makan. Samalah macam burung merpati ni abah saya pelihara. Ada yang sembelih buat makan.

“Saya dari kecil makan burung merpati yang ayah pelihara. Anda kena tahu beza merpati liar dengan merpati kampung orang pelihara. Macam saya makan babi pula nak bitter-bitter,” tulisnya dalam ciapan asal.

Selain itu, ada juga yang menuduh dirinya gila gara-gara makan merpati.

“Ada juga eh cakap orang gila makan merpati.

“Kalau kau bayangkan burung merpati berak merata dekat bandar tu memang tak la ngek aku nak makan,” katanya.

Dia juga memuat naik video menerangkan bahawa hobi bapanya adalah membela burung merpati yang dibela sejak telurnya menetas dan apabila akan dimakan pada masa sesuai.

Tegasnya lagi, dia sendiri berasa geli untuk makan burung merpati liar yang tidak diketahui asal usul.

Menurut portal Maktabah Al-Bakri, burung merpati termasuk dalam jenis burung yang halal untuk dimakan.

Kesemuanya adalah halal dimakan dengan syarat ia disembelih terlebih dahulu sebagaimana sembelihan yang dikehendaki oleh syarak.