Salahkan Tun M dan Anwar, ini jawapan TMJ kepada Hassan

Salahkan Tun M dan Anwar, ini jawapan TMJ kepada Hassan

Kekayaan Sultan Johor dan Sultan Selangor adalah menerusi pelbagai penglibatan dalam aktiviti-aktiviti korporat.

Memetik laporan Sinar, Pemangku Raja Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata, Sultan Johor dan Sultan Selangor kaya bukan dengan cara monopoli beras, gula, tepung, lesen import (AP), kuota, kontrak kerajaan atau konsesi swasta.

“Ini bukan sebagaimana yang dilakukan oleh kroni-kroni kepada mereka yang berkuasa sejak Tun Dr Mahathir Mohamad Mahathir mengambil alih tugas sebagai Perdana Menteri pada 1981 dan selepas (Datuk Seri) Anwar Ibrahim menyertai UMNO pada 1982.

“Mungkin kerajaan ada membayar gaji kepada sepuluh Raja-Raja Melayu.

Tetapi seperti apa yang dikatakan oleh Sultan Johor, sejak 1899 Kesultanan Johor telah mendermakan wang itu kembali kepada rakyat, lama sebelum pembentukan Malaya pada 1948 dan ketika British masih lagi menjajah Kepulauan Melayu,” kata Tunku Ismail dalam Facebook miliknya HRH Crown Prince of Johor pada Jumaat.

Pada Rabu, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim melahirkan kebimbangan sebahagian sultan terlibat aktif dalam perniagaan atau perusahaan komersial sejak akhir-akhir ini yang boleh menimbulkan pelbagai persepsi atau tuduhan tidak baik terhadap institusi diraja.

Beliau dalam satu kenyataan berkata, kebenaran atau melarang sultan terlibat dalam perniagaan masih terikat dan tertakluk kepada perlembagaan negeri atau undang-undang tubuh negeri masing-masing.

Mengulas lanjut, Tunku Mahkota Johor berkata, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sebelum ini sudah memperbetulkan penipuan yang didakwa dilakukan bekas Perdana Menteri sebelum ini.

“Sultan Johor telah memperbetulkan penipuan yang diputarbelitkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad sejak 30 tahun dahulu, pada awal 1980-an yang mengatakan bahawa 10 Raja-Raja Melayu adalah lintah yang menghisap duit rakyat hingga kering,” ujar Tunku Ismail.

Putera sulung Sultan Ibrahim itu berkata, setiap wang yang diterima daripada elaun sultan disalurkan baginda ke tabung bantuan sejak tahun 1899.

“Ini dilakukan sejak daripada pemerintah kedua, Almarhum Sultan Sir

Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar pada 1899, semua elaun peruntukan kerajaan negeri didermakan kepada tabung untuk mereka yang memerlukan,” kata Tunku Mahkota Johor.

Menurut Tunku Ismail, satu kenyataan ada dimuat naik Royal Press Office (RPO) dalam Facebook Sultan Ibrahim sebelum ini menyatakan bahawa amalan itu diteruskan hingga zaman Almarhum Sultan Iskandar Sultan Ismail apabila semua elaun disalurkan ke Yayasan Sultan Iskandar.

“Ia juga menyatakan bahawa ketika Almarhum Sultan Iskandar menjadi Yang Di-Pertuan Agong kelapan dari 1984-1989, elaun yang diterima baginda daripada kerajaan Persekutuan juga telah disalurkan kepada yayasan tersebut.

“Yayasan Sultan Iskandar bukan hanya membantu mereka yang susah, tetapi juga bantuan ketika bencana alam dan juga dana untuk pendidikan,” kata Tunku Ismail.

Tunku Mahkota Johor itu berkata lagi, peruntukan untuk Yayasan Sultan Ibrahim pula adalah hasil derma daripada elaun yang diterima Sultan Ibrahim.