Samakan manusia dengan binatang, Tiong terkilan dengan kenyataan Sanusi

Samakan manusia dengan binatang, Tiong terkilan dengan kenyataan Sanusi

 

Kenyataan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang menyamakan manusia dengan binatang ibarat menghalau pelancong daripada datang ke Langkawi, selar Menteri Pelancongan Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bintulu melahirkan kekesalan dan rasa sedih dengan kenyataan Sanusi yang mengeluarkan kenyataan tidak profesional apabila menyebut “Binatang memang tak pakai baju, pakai sikit baju semakin menjadi kebinatangan.”

“Saya sangat terkejut dengan kenyataan beliau itu yang sepatutnya tidak keluar dari mulut seorang yang menjawat jawatan sebagai menteri besar,” ujarnya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan malam Khamis.

Menurut Tiong, apabila media memintanya mengulas mengenai kenyataan Sanusi, beliau terpaksa mengakui bahawa tindakan Sanusi sering ‘flip flop’ atau berubah-ubah mengikut situasi.

“Jika semalam beliau kata tidak akan mengenakan sekatan terhadap cara berpakaian orang bukan Islam, hari ini pula mengatakan bahawa pakaian yang lebih sederhana mewakili kemajuan yang mana membuatkan saya bingung dan tidak mengerti akan pendirian beliau (Sanusi).

“Kenyataan Sanusi yang tidak konsisten ini amat memeningkan dan menyebabkan usaha bagi mempromosikan dan menyokong sektor pelancongan di Langkawi menjadi semakin mencabar,” keluh beliau.

Melihat pada keadaan ini Tiong berkata beliau tidak dapat memberi jaminan bahawa para pelancong tidak akan dikenakan sebarang sekatan atau halangan terhadap cara mereka berpakaian jika berkunjung ke Langkawi.

Menyifatkan mana-mana pihak yang berpakaian sebagai “binatang” ujarnya sangat menyinggung perasaan yang mana beliau dilihat cuba meniup hasutan untuk mengeksploitasi keadaan dan berlagak ‘hero’.

“Sekiranya berlaku sebarang insiden yang tidak menyenangkan semasa pelancong berkunjung, adakah penghasut itu dengan mudah mencuci tangan seterusnya menyalahkan Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya?” soal beliau.

Oleh itu tegasnya, demi kebaikan negeri Kedah khususnya industri pelancongan di Langkawi, beliau menggesa Sanusi agar berhati-hati dalam berkata-kata dan menahan diri daripada merosakkan reputasi beliau sebagai menteri.

“Jika tidak, mungkin tiada lagi pelancong yang berani menjejakkan kaki ke Langkawi,” jelas Tiong.

Mengenai situasi pelancongan Langkawi, baru seminggu lalu, Sanusi sendiri menyebut penurunan pengunjung tempatan dan mendakwa ramai pelancong membanjiri Langkawi semasa cuti Deepavali termasuk pelayaran membawa masuk 10,000 hingga 20,000 pelancong.