Sambutan hangat PM di Kedah buatkan Sanusi makin koyak

Sambutan hangat PM di Kedah buatkan Sanusi makin koyak

Kira-kira 4,000 orang meredah hujan di Alor Setar, Kedah, malam ini untuk melihat Perdana Menteri Anwar Ibrahim di Himpunan Madani di negeri itu.

Menurut Malaysiakini, kebanyakan yang hadir berlindung di bawah khemah yang didirikan di sekitar lokasi Dataran Stargate, walaupun ada yang telah bersedia dengan payung dan baju hujan.

Anwar tiba kemudian pada pukul 9 malam ketika hujan reda. Dia akan melancarkan bas dan trak ‘perpaduan’ pada 10.15 malam dan berucap kepada orang ramai.

Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi turut menghadiri perhimpunan itu, bersama empat menteri lain iaitu Saifuddin Nasution Ismail, Salahuddin Ayub, Fahmi Fadzil dan Nga Kor Ming.

Acara bermula pada sebelah petang. Seorang badut kelihatan menggembirakan kanak-kanak dengan menawarkan belon kepada mereka.

Para hadirin turut diberikan kemeja-T berlogo ‘Malaysia Madani’, dan baucar untuk digunakan di gerai makan dan minuman di kawasan itu.

Ia turut menampilkan cabutan bertuah dan juga persembahan termasuk penyanyi terkenal Siti Nurhaliza dan Amy Search.

Terdahulu pada sebelah petang, Anwar, Salahuddin, Saifuddin, dan Ahli Parlimen Hulu Langat Mohd Sany Hamzan telah membuat lawatan singkat di tempat itu untuk menyambut orang ramai.

Mereka tiba pada pukul 5.30 petang dan meluangkan masa kira-kira 15 minit di kawasan sekitar.

Majlis anjuran sekretariat Pakatan Harapan (PH) dan PH negeri itu diadakan menjelang rumah terbuka Aidilfitri peringkat kebangsaan kerajaan pusat di bandar yang sama esok.

Pengerusi PH Kedah Mahfuz Omar sebelum ini memberitahu Malaysiakini acara itu adalah untuk pemimpin kerajaan menjelaskan dasar kepada akar umbi dan menerima maklum balas, dan dibiayai sepenuhnya oleh PH Kedah.

Katanya, hadiah cabutan bertuah termasuk lima motosikal itu disumbangkan penyokong.