“Sampah merata, kotor!” – Hani Madu kecewa keadaan pantai Tok Bali, hilang selera nak makan aiskrim

“Sampah merata, kotor!” – Hani Madu kecewa keadaan pantai Tok Bali, hilang selera nak makan aiskrim

 

Penyanyi dan pengacara Hunny Madu meluahkan rasa kecewa apabila menyaksikan sendiri pencemaran yang berlaku ketika berkunjung ke Pantai Tok Bali, Pasir Puteh, Kelantan dipenuhi dengan sampah sarap.

Hunny atau Hani Farhana Mohd Hatim, 39, berkata, niat untuk membeli ais krim ketika berkunjung ke kawasan itu terbantut apabila melihat kawasan berkenaan kotor dan mencacatkan pemandangan.

“Pantai di Tok Bali, Kelantan begitu kotor dan dipenuhi sampah sarap. Kami sebenarnya ingin membeli aiskrim kerana cuaca terlalu panas namun membatalkan niat itu.

hunny2 - 1

Hani berasa kecewa melihat persekitaran yang kotor.

“Sebaliknya, kami terus ke hotel berhampiran kerana mood kami berubah selepas melihat sampah yang melimpah-ruah ini.

“Kenapa? Bolehkah seseorang beritahu saya mengapa pantai yang dahulunya indah kini dipenuhi dengan sampah?,” soalnya.

Hani berkongsi perkara itu menerusi sebuah video yang dimuat naik di Instagram miliknya yang memperlihatkan kawasan sekitar pantai itu dipenuhi sampah.

Hampir keseluruhan tempat dipenuhi sampah dan perkara itu membuatkan pengacara berkenaan berasa malu terhadap pelancong asing yang berkunjung ke lokasi tersebut.

Dalam pada itu, di Instastory Hani juga berkata dia mengalami sakit tekak disebabkan oleh pencemaran persekitaran di Kelantan.

Menurut Hani, hotel yang didiami juga tidak dibersihkan selama empat hari mereka menginap di sana.

“Balik Kelantan memang best jumpa keluarga. Tapi balik dari sana tekak saya jadi sakit, mungkin kerana cuaca panas dan pencemaran udara.

“Hotel kami di Kota Bharu juga tidak divakum selama empat hari sepanjang kami menginap di sana.

hunny1 - 1

Antara kenyataan yang dimuat naik di Instagram.

“Karpet kotor. Karpet bertompok seperti kesan air minuman sirap bandung,” tambahnya.

Sementara itu, penyanyi Ning Baizura di ruang komen turut memberitahu persekitaran di pantai Kuantan turut mengalami nasib sama.

Bagaimanapun penyanyi itu tidak menyalahkan orang awam sebaliknya mendakwa tiada tong sampah disediakan pihak berkuasa di kawasan tersebut.

“Perkara ini biasa di pantai Kuantan juga. Tidak salahkan sesiapa kerana tiada disediakan kemudahan untuk membuang sampah, di mana kebanyakan pengunjung adalah dari Malaysia sendiri.

“Kawasan hentian rawat dan rehat (R&R) di Malaysia pun sedih. Tandas sangat kotor. Itu pun ada tong sampah. Masa sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semuanya lebih baik,” ujarnya.

hunny3 - 1

Hani mengalami sakit tekak disebabkan oleh pencemaran persekitaran.

Tambah penyanyi Awan Yang Terpilu itu lagi, faktor pendidikan adalah cara terbaik untuk memberi kesedaran kepada masyarakat untuk menjaga alam sekitar.

“Pendidikan untuk masyarakat kita adalah kuncinya. Pokok pangkal, kita kena ada kesedaran sivik.

“Kita yang warga tempatan pun kecewa, apa lagi kepada pelancong asing,” katanya.