Samseng Alphard berjaya ditahan polis

Samseng Alphard berjaya ditahan polis

Polis menahan seorang lelaki yang disyaki memandu kenderaan pelbagai guna (MPV) secara berbahaya di Kilometer (KM) 25.1 hingga KM 27.5 Lebuhraya Karak menghala ke Genting Sempah, Pahang, semalam.

Memetik laporan Malaysiakini, Ketua Polis Daerah Gombak ACP Zainal Mohamed Mohamed berkata pembuli jalan yang berusia 43 tahun itu ditahan di perkarangan Bahagian Siasatan dan Perundangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak pada pukul 2 petang.

“Pemandu ini telah dibawa menjalani ujian air kencing di Bahagian Narkotik IPD Gombak dan hasil ujian adalah negatif. Beliau juga dibawa ke Hospital Selayang untuk diambil sampel darah bagi tujuan ujian alkohol,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata pemandu terbabit akan dibawa ke Mahkamah Majistret Selayang untuk mendapat perintah reman bagi disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya.

Semalam tular di media sosial satu klip video yang memaparkan kenderaan MPV yang dilihat cuba memotong barisan secara berbahaya.