Samsuri nafi Pas berpecah, Geng Ustaz kunci mulut

Samsuri nafi Pas berpecah, Geng Ustaz kunci mulut

PAS menolak dakwaan parti itu berdepan krisis dalaman susulan kewujudan dua kumpulan dikenali sebagai ‘Geng Publika’ dan ‘Geng Ustaz’ seperti ditularkan di media sosial.

Naib Presiden PAS, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata dakwaan kononnya parti berdepan perpecahan adalah tidak berasas.

“(Berita) itu tidak betul, ia khabar angin yang sengaja diada-adakan. Bagi saya, itu cerita yang tak ada asas, kami (di dalam parti) tiada masalah,” katanya kepada pemberita pada Program Vaksin COVID-19 Peringkat Negeri Terengganu di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini hari ini.

Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu mengulas dakwaan parti itu kononnya berdepan perpecahan susulan kewujudan dua kumpulan dalam parti.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang itu turut menyifatkan dakwaan wujudnya usaha menjatuhkan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai tidak masuk akal.

“Saya rasa itu lagi tidak masuk akal mahu menjatuhkan Presiden PAS, saya tak terfikir ada siapa-siapa yang mempunyai atau merasakan diri mereka boleh mencapai tahap Presiden PAS sekarang ini.

“Jadi, tidak timbul (isu itu), saya rasa itu diada-adakan pihak luar sahaja,” katanya.

Sebelum ini, tular di media sosial yang mengaitkan PAS berdepan perpecahan dalaman parti susulan kewujudan dua kumpulan iaitu Geng Publika yang dikatakan pro Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) serta Geng Ustaz yang memihak kepada UMNO dan dikatakan cuba menukar kepemimpinan Abdul Hadi.

Geng Publika dikatakan terdiri daripada Ahmad Samsuri dan Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, manakala Geng Ustaz pula dikatakan membabitkan Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali dan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz. – BH