Sangat penting! Ini tips kekal cergas ketika cuaca terlampau panas

Sangat penting! Ini tips kekal cergas ketika cuaca terlampau panas

 

Pakar kesihatan mencadangkan beberapa cara untuk mengharungi cuaca panas pada ketika ini bagi mengelakkan berlakunya masalah kesihatan seperti strok haba.

Menurut Pakar Kesihatan Persekitaran, Jabatan Kesihatan Persekitaran dan Pekerjaan dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Haliza Abdul Rahman, langkah pertama yang perlu dilakukan ialah dengan mengurangkan aktiviti luar.

“Saya menyarankan kepada orang ramai yang mahu beraya atau ke mana sahaja untuk berada di dalam rumah atau bangunan bagi mengelakkan tubuh kekurangan air.

“Apabila kita terdedah secara langsung dengan gelombang panas, ia menyebabkan badan berpeluh dan sekali gus mengakibatkan tubuh kurang air sehingga berisiko menghidap masalah strok haba,” katanya.

Haliza berkata, langkah tersebut perlu juga disusuli dengan pengambilan air minuman yang mencukupi iaitu sekurang-kurangnya 2.5 liter atau enam gelas sehari.

Pakar kesihatan mencadangkan beberapa cara untuk mengharungi cuaca panas pada ketika ini bagi mengelakkan berlakunya masalah kesihatan seperti strok haba. – Sinar Harian

“Apabila tubuh tidak mendapat air yang mencukupi, ia akan mengakibatkan kekejangan dan keletihan yang boleh menyumbang kepada strok haba.

“Keadaan itu boleh menyebabkan seseorang pengsan sehingga berisiko berhadapan dengan kematian,” katanya.

Pada masa sama, beliau menegaskan orang ramai untuk duduk di kawasan yang terlindung daripada gelombang panas dan mempunyai pengudaraan baik.

Jelas Haliza lagi, daripada aspek pemakanan pula, orang ramai amat digalakkan untuk makan makanan seperti sup, buah-buahan yang berair antaranya tembikai dan betik.