Sanggah kenyataan Muhyiddin, pimpinan Pas semakin ghairah menagih cinta UMNO

Sanggah kenyataan Muhyiddin, pimpinan Pas semakin ghairah menagih cinta UMNO

Seorang lagi pemimpin kanan PAS menyatakan rasa tidak bersetujunya dengan langkah Muhyiddin Yassin meletakkan BN sebagai musuh utama Perikatan Nasional (PN).

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Nasrudin Hassan, malah melihat tindakan meletakkan sesebuah parti yang sama-sama dalam kerajaan itu sebagai pihak yang berjiwa pembangkang.

Menzahirkan tegurannya itu hari ini Nasrudin berkata tidak menjadi masalah jika pembangkang yang mengkritik parti pemerintah kerana ia adalah ruang yang dibenarkan oleh demokrasi.

“Sementara parti kompenan pemerintah, jangan berminda pembangkang. Usah silap jari untuk menuding dan lajak lidah dengan mengisytiharkan sesama sendiri sebagai musuh.

“Sebaliknya eratkan kerjasama untuk membangunkan negara serta membina keharmonian untuk berkhidmat kepada rakyat,” katanya.

Dia yang dilantik menjadi Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah (Yadim) selepas kejatuhan Pakatan Harapan (PH) menegaskan, atas sebab itulah PAS membawa agenda “perpaduan ummah” iaitu menyatukan parti Islam untuk mengukuhkan pemerintahan Melayu Islam.

Pada 24 Sept lalu Muhyiddin mengisytiharkan BN sebagai musuh utama buat PN dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Ia berbeza daripada pendirian PAS yang dinyatakan parti itu kira-kira lima hari sebelumnya apabila mereka meletakkan PH sebagai musuh bersama parti terbabit.

BN tetap rakan PAS

PAS dan Bersatu merupakan antara parti komponen dalam PN. Muhyiddin merupakan presiden Bersatu merangkap pengerusi PN.

Bagaimanapun, untuk rekod, Bersatu bukanlah satu-satunya pihak yang selalu mengkritik kerajaan pimpinan Naib Presiden Umno, Ismail Sabri Yaakob.

Beberapa pemimpin Umno juga secara berlapik atau terbuka pernah mengeluarkan kenyataan keras ke atas Ismail Sabri, terutama berhubung isu kesediaan kerajaan mengadakan PRU segera.

Nasrudin berkata PAS hanya mengisytiharkan sesuatu pihak itu sebagai musuh apabila mereka dilihat ekstrem serta menentang agenda pengukuhan pemerintahan Melayu Islam ini di Malaysia.

“Bertolak dari noktah itu, PAS mengisytiharkan musuhnya ialah PH bukan BN.

“Justeru BN adalah rakan kerjasama politik bahkan rakan kompenan parti yang memerintah negara semasa,” katanya, memetik Malaysiakini.