Sanusi akan mengadap PM untuk bagi penjelasan

Sanusi akan mengadap PM untuk bagi penjelasan

 

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dijangka akan mengadakan pertemuan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam waktu terdekat berhubung projek Kedah Aerotropolis.

Menurut beliau, pertemuan berkenaan akan dijadikan platform bagi menerangkan secara terperinci mengenai projek berkenaan yang akan menjadi ‘game-changer’ kepada peningkatan sektor ekonomi melibatkan negeri-negeri di utara Semenanjung Malaysia.

Jelasnya, Perdana Menteri difahamkan ketika ini beranggapan bahawa projek Kedah Aerotropolis yang akan dilaksanakan itu akan melibatkan peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan.

Sehubungan itu, KXP AirportCity Holdings Sdn. Bhd. (KXP Holdings) telah diarahkan bagi mengaturkan perjumpaan tersebut dalam waktu terdekat.

“Saya difahamkan Perdana Menteri ingat projek ini (adalah) projek (yang) kita hendak (gunakan) duit (atau peruntukan daripada) kerajaan Persekutuan, dalam keadaan kantung kewangan Kerajaan Persekutuan yang kurang memberangsangkan, tentulah kerajaan berpandangan projek ini perlu ditangguhkan.

“(Maka) saya ingin bertemu Perdana Menteri untuk beri penjelasan sepenuhnya berkenaan projek ini dan projek lain yang menjadi komponen kepada Kedah Aerotropolis seperti Hab Logistik, Aeroangkasa dan Pembuatan Sidam (SLAM) dan Lebuh Raya Koridor Utara (NCH) yang akan dilaksanakan NCIA, dan beberapa komponen penting (yang lain).

“Semua projek ini akan dilaksanakan secara PFI (pelaburan swasta), (dan saya) harap projek ini dapat mencerahkan pandangan Kerajaan Persekutuan yang baharu untuk menyokong projek kita, (yang mana merupakan) satu-satunya yang kita anggap sebagai game-changer ekonomi di Wilayah Utara Semenanjung.

“Manfaatnya bukan sahaja untuk faedah bagi negeri Kedah (malah) juga untuk (negeri) Pulau Pinang, Perak dan Perlis,” katanya.

Sanusi berkata demikian ketika sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco Kerajaan Negeri Kedah di Wisma Darul Aman pada Rabu.

Dalam perkembangan sama, beliau turut menyatakan bahawa kerajaan negeri juga akan mendapatkan kebenaran daripada kerajaan Persekutuan khususnya melibatkan urusan pengambilan tanah.

Selain itu, kelulusan daripada Kementerian Pengangkutan juga diperlukan bagi membangunkan projek berkaitan lapangan terbang.

Beliau turut memaklumkan bahawa, sesi temuduga dan penilaian juga telah dilaksanakan dua minggu yang lalu melibatkan syarikat-syarikat yang berminat bagi membangunkan Kedah Aerotropolis.

Setakat ini, jelas Sanusi, dua syarikat telah disenarai pendek, dan telah dimaklumkan mengenai aspek teknikal yang akan dikenal pasti untuk dipenuhi kedua-dua syarikat berkenaan.