Sanusi akhirnya dedah punca dihalang hadir dalam program kerajaan Persekutuan

Sanusi akhirnya dedah punca dihalang hadir dalam program kerajaan Persekutuan

 

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mendedahkan arahan menghalangnya hadir ke sebarang majlis anjuran kerajaan Persekutuan berpunca daripada dakwaan beliau membocorkan ‘rahsia’ kerajaan.

Beliau berkata, alasan yang tertulis dalam kertas arahan Kabinet itu menghalang beliau hadir ke sebarang majlis kerajaan Persekutuan, termasuk Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA ’23) yang dijadual berlangsung Mei depan.

Katanya, arahan itu adalah sulit dan tidak diedarkan kepada semua pihak, namun seorang daripada pegawai kanan kerajaan menunjukkan kertas arahan terbabit kepada Setiausaha Sulitnya yang hadir mesyuarat berkaitan penganjuran LIMA ’23.

“Sebelum ini, saya ada pergi berceramah di Sungai Besar, Selangor selepas menghadiri mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang turut disertai semua menteri Persekutuan sempena Mesyuarat Majlis Raja-Raja Melayu Ke-261 (Februari lalu).

“Dalam ceramah itu, saya sebutkan mesyuarat bersama Perdana Menteri bincang agenda pembangunan negeri dan ada dua pembentangan iaitu Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) iaitu mengenai kedudukan perumahan awam.

“Pembentangan kedua oleh Kementerian Kewangan dibentangkan sendiri oleh Anwar kerana lantikan baharu Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP) belum dibuat. Anwar bukan bentang pasal angka, tapi bersyarah,” katanya pada program Malam Penghayatan Nuzul Quran di Kompleks PAS Kedah di sini, malam tadi.

Muhammad Sanusi menegaskan, beliau tidak langsung menyentuh mengenai kandungan pembentangan mesyuarat itu kerana maklum ia adalah sulit dan hanya menamakan siapa yang membentangkan laporan.

Berikutan itu, katanya, beliau dituduh membocorkan rahsia kerajaan sehingga dilarang menyertai program kerajaan Persekutuan.

“Kerana saya cerita Anwar Ibrahim sendiri bentang kertas dia (Kementerian Kewangan), jadi kata saya bocor rahsia. Alasan ini terlalu bodoh, rahsia apa itu, kandungan kertas pembentangan itu yang sulit.

“Apabila keluar arahan Kabinet (menghalang daripada menghadiri majlis kerajaan Persekutuan), sampai ke semua agensi dapat arahan sama daripada Kabinet.

“Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dapat arahan sama, MADA ada di Kedah, tetapi saya tak boleh hadir program MADA. Mereka tak sesuai jadi kerajaan kerana balik cara 60-an gaya pecah dan perintah,” katanya.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi yang juga Ketua Perikatan Nasional (PN) Kedah berkata, pihaknya tidak akan mengambil langkah sama seperti dilakukan kerajaan Persekutuan.

“Mereka hendak buat LIMA ’23 di tempat kita, air adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri, jadi saya sudah arahkan semua infrastruktur berada dalam keadaan paling baik sepanjang LIMA ’23 berlangsung.

“Semua agensi kerajaan Persekutuan yang mahu mengadakan program di Kedah akan dilayan baik dan sentiasa dialu-alukan kehadiran mereka ke negeri ini,” katanya.

Sebelum ini, Muhammad Sanusi mendakwa dihalang hadir sebarang majlis Kerajaan Persekutuan termasuk LIMA ’23 berikutan terdapat arahan yang dikeluarkan Kabinet.