Sanusi enggan layan spekulasi bubar DUN

Sanusi enggan layan spekulasi bubar DUN

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor hari ini menyifatkan dakwaan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO mahu menarik sokongan sebagai khabar angin.

Muhammad Sanusi berkata, kerajaan negeri di bawah pimpinannya masih berjalan seperti biasa dan tidak goyah.

“Tiada isu timbul setakat ini membabitkan mana-mana ADUN yang mahu menarik sokongan daripada kerajaan negeri.

“Saya hanya tahu mengenai dakwaan tersebut apabila dihubungi wartawan dan saya sifatkan ia sekadar khabar angin yang dibuat pihak tidak bertanggungjawab.

“Memang tidak ada isu di Kedah dan kita aman ketika ini. Kita tidak ada buat orang marah,” katanya.

Sementara itu ADUN Barisan Nasional (BN) Bandar Baharu, Datuk Norsabrina Mohd Noor ketika ditemui turut menafikan dakwaan bahawa beliau bersama seorang lagi ADUN parti itu akan menarik sokongan terhadap kerajaan negeri Kedah.

Menurutnya, beliau tidak pernah sama sekali membincangkan mengenai perkara itu dengan mana-mana pihak sebaliknya mahu fokus kepada tanggungjawabnya sebagai wakil rakyat untuk membangunkan Kedah.

“Tidak dibincangkan, tidak diperkatakan dan tidak dipersoalkan (mengenai sokongan terhadap Menteri Besar) sebab dua adun (yang disebut) tu kamilah, (saya dan ADUN Sungai Tiang).

“Ya (benar) tiada apa-apa (rancangan untuk tarik sokongan) maksudnya (kami) buat kerja macam biasa, hubungan (dengan pentadbiran) macam biasa, kalau tidak (saya) tak hadir (program) hari ni.

“(Sekarang ini masa) fikir pasal Kerajaan Kedah sahaja, apa (perkara) yang boleh majukan Kedah, itu sahaja, (jadi) prestasi jangan cari kontroversi,” katanya.