Sanusi panas bontot gara-gara rancangan projek pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim dibatalkan kerajaan

Sanusi panas bontot gara-gara rancangan projek pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim dibatalkan kerajaan

 

Kerajaan Kedah akan berusaha untuk membuat pembentangan projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) di hadapan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi merealisasikan projek berkenaan.

Memetik Sinar Harian, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, ini kerana beliau yakin Anwar belum mendapat gambaran penuh mengenai projek tersebut sehingga tidak mempertimbangkan rancangan projek itu dalam pembentangan Belanjawan 2023 pada Jumaat.

Menurutnya, setakat ini sudah dua kali surat permohonan untuk bertemu Perdana Menteri telah dihantar, namun masih belum mendapat sebarang maklum balas.

“Walau apa jua rintangan diharapkan agar satu titik temu akan dapat dicapai bagi merealisasikan usaha ini demi kepentingan dan manfaat negara khususnya rakyat Kedah,” katanya dalam kenyataan di sini pada Ahad.

Menurutnya, Kedah Aerotropolis yang turut merangkumi pembinaan KXP adalah projek berimpak tinggi yang akan dibangunkan melalui pelaburan syarikat swasta tempatan tanpa melibatkan peruntukan kerajaan Persekutuan.

Katanya, dalam kedudukan kewangan yang kurang memberangsangkan, kerajaan negeri Kedah memilih untuk melaksanakan projek berkenaan secara pelaburan swasta (PFI) sepenuhnya.