Sanusi pula dijangka buat permohonan maaf kepada Anwar selepas Razman

Sanusi pula dijangka buat permohonan maaf kepada Anwar selepas Razman

 

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Mohd Nor didakwa bakal menyusuli tindakan Pesuruhjaya Pas Perak meminta maaf terhadap Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim selepas disaman memfitnahnya ketika kempen PRU-15 lepas.

Menurut sumber, tindakan Sanusi itu berkait rapat dengan kesediaan Anwar memaafkan musuh politiknya, sesuai dengan roh Malaysia Madani yang digagasnya baru-baru ini.

Sementara itu, Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria, hari ini tampil membuat permohonan maaf kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, kerana mendakwa Perdana Menteri membawa agenda lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) di negara ini dan menyokong agenda komunis.

Memetik Harian Metro, permohonan maaf itu dibuat Razman di Mahkamah Tinggi Taiping sebagai sebahagian daripada persetujuan untuk menyelesaikan kes saman fitnah yang dikemukakan oleh Anwar terhadapnya.

Peguam bela Anwar, Datuk SN Nair, ketika dihubungi BH mengesahkan perkara berkenaan.

Pada 5 Disember lalu, Anwar yang memfailkan saman itu atas kapasiti peribadi melalui firma guaman Tetuan SN Nair & Partners di Mahkamah Tinggi Taiping dengan menuntut Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gunong Semanggol itu membayar ganti rugi am, teruk dan teladan serta injunksi menghalangnya daripada mengeluarkan kenyataan fitnah serupa.

Dalam pernyataan tuntutannya, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata, Razman memberi satu ucapan kempen pilihan raya pada program ‘walkabout’ pasar malam Tebuk Pancur yang disiarkan secara langsung melalui akaun Facebooknya ‘Haji Razman Zakaria’ yang mendapat tontonan melebihi 94,400 kali, melebihi 5,100 reaksi, 429 perkongsian dan melebihi 2,600 komen.

Anwar berkata, Razman kemudian menerbitkan atau menyebabkan siaran video secara langsung Facebook dan kandungannya diterbitkan semula di artikel Malaysiakini bertajuk ‘Razman dakwa Anwar bawa agenda LGBT, bimbang kerjasama PH-BN’ bertarikh 6 November lalu.

Katanya, penerbitan itu adalah satu fitnah terhadap dirinya yang antaranya membawa maksud beliau adalah seorang yang cenderung kelakuan songsang, menggalakkan perkahwinan sejenis dan mengamalkan serta menyokong ideologi komunis.