Sanusi terus dakyah naratif buruk trhadap kepimpinan Anwar, terbaru libatkan DBP

Sanusi terus dakyah naratif buruk trhadap kepimpinan Anwar, terbaru libatkan DBP

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor kecewa dengan sikap seorang pegawai kanan Dewan Bahasa dan Pusaka (DBP) yang tidak hadir ke Majlis Anugerah Sastera Darul Aman (ASDA) di sini, malam tadi atas alasan Kedah kini adalah negeri pembangkang.

Memetik Berita Harian, Sanusi berkata sebagai agensi kerajaan, DBP tidak wajar mengamalkan amalan ‘sihir pemisah’ kerana sastera tidak sepatutnya dicampur aduk dengan politik.

“Kekecewaan saya lahirkan kepada Dewan Bahasa dan Pustaka yang tidak hadir ke majlis ini. Saya difahamkan atas alasan kerana Kedah ini negeri pembangkang.

“Dalam karya karya sastera adalah istilah yang sesuai, tak boleh mereka mengamalkan ‘sihir pemisah’ kerana politik. Sastera penulisan ini dia duduk bakul lain tak boleh, tak boleh (pisahkan),” katanya ditemui selepas majlis anugerah berkenaan di Ibu Pejabat MADA, malam tadi.

Sanusi berkata, anugerah yang kali pertama diadakan dalam tempoh 47 tahun itu sepatutnya mendapat kerjasama dengan DBP yang berperanan memartabatkan bahasa, seni dan kesusasteraan.

Justeru katanya, beliau sangat berharap agensi kerajaan yang mengawal selia agenda terbabit khususnya penulisan tidak diheret ke kancah politik.

“Dalam sejarah 47 tahun di Kedah apabila buat kali pertama diadakan Anugerah Sastera Darul Aman untuk penulis dan pengkarya sastera dari Kedah.

“Alhamdulillah saya ucap tahniah kepada Angkatan Sasterawan Nasional Kedah (ASASI) yang telah berjaya menganjurkan majlis ini sebagai satu penghargaan pengiktirafan kepada dunia kesusasteraan yang semakin hari semakin dilupakan. Kita tidak boleh meminggirkan bidang karya penulisan sastera seni yang begitu tinggi nilainya kepada masyarakat,” katanya.

Mengulas lanjut, Sanusi menyatakan kesediaan kerajaan negeri untuk memberi komitmen dalam anugerah itu pada tahun depan dengan peruntukan yang lebih besar.

Katanya, Kedah melahirkan ramai Sasterawan Negara namun lebih banyak mendapat pengiktirafan di negeri lain.

“Jadi kalau dia tak bergerak ke negeri lain, dia tak dapatlah (anugerah), walaupun banyak anugerah diterima tapi oleh kerana kita tak ada anugerah di peringkat negeri, dia tak dapat anugerah di Asia Tenggara, rugilah penulis kita dari negeri Kedah.

“Insya-Allah tahun depan kita akan tambah peruntukan yang lebih daripada tahun ini,” katanya.

Pada majlis itu, sasterawan Osman Ayob dipilih untuk menerima Anugerah Sasterawan Kedah 2022.