Sanusi tunjuk ‘pelaq’ enggan bayar saman Mahfuz meskipun selepas 14 hari arahan mahkamah

Sanusi tunjuk ‘pelaq’ enggan bayar saman Mahfuz meskipun selepas 14 hari arahan mahkamah

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah, Datuk Mahfuz Omar mengingatkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor agar membayar ganti rugi sebanyak RM120,000 seperti diputuskan Mahkamah Rayuan Putrajaya.

Memetik Sinar, beliau berkata, sehingga kini Muhammad Sanusi belum melunaskan tuntutan tersebut walaupun tempoh pembayaran telah ditetapkan 14 hari daripada proses penghakiman.

Menurutnya, sekiranya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri berkenaan mahu menangguhkan pembayaran tersebut, beliau diminta berhubung dengan peguam bagi meneruskan hasrat itu.

“Muhammad Sanusi perlu bayar segera kerana tempoh diberikan oleh Mahkamah Tinggi sebelum ini ialah 14 hari daripada penghakiman.

“Beliau ketika itu telah minta tangguh sebab mahu buat rayuan ke Mahkamah Rayuan. Tiada pindaan dilakukan kecuali satu saja, iaitu denda daripada RM50,000 kepada RM120,000. Tempoh 14 hari masih kekal daripada tarikh penghakiman,” katanya.

Mahfuz memberitahu, Muhammad Sanusi tidak seharusnya menunggu sehingga perintah mahkamah dikeluarkan kerana keputusan telah pun diputuskan.

“Bermakna sekiranya nak bayar tak perlu tunggu perintah mahkamah dikeluarkan terhadap beliau, terus bayar sahaja. Kecuali mungkin beliau mahu merayu pula ke Mahkamah Persekutuan, yang itu perlu beritahu kepada peguam saya, tiada masalah.

“Saya akan arah pula peguam saya buat rayuan pencelahan di mahkamah mungkin untuk minta tambah daripada RM120,000 kepada RM240,000,” jelasnya.

Menurutnya, permohonan maaf secara terbuka juga perlu dibuat berdasarkan kepada tuntutan berkenaan, namun sehingga kini belum dilakukan.

Mahfuz secara berseloroh turut memuat naik rakaman video berhubung perkara tersebut bagi mengingatkan Muhammad Sanusi mengenai ganti rugi yang perlu dibayar di laman twitter.

Pada 3 April, Muhammad Sanusi gagal dalam rayuan saman fitnah terhadap bekas Ahli Parlimen Pokok Sena itu, namun permohonan Mahfuz untuk menaikkan jumlah bayaran ganti rugi diluluskan daripada RM50,000 kepada RM120,000,”

Mahfuz memfailkan saman pada 9 Oktober 2019 berdasarkan hantaran dibuat Muhammad Sanusi melalui akaun Facebook pada 30 Julai 2019, yang mengaitkan Ahli Parlimen Pokok Sena itu dalam isu pemindahan premis judi Sport Toto ke kawasan itu.

Dalam pada itu, peguam yang mewakili Mahfuz, Noorazmir Zakaria memaklumkan, satu notis tuntutan dihantar kepada individu dikenali sebagai Mamu dan pemilik akaun Tiktok @sembangkedaikopi yang telah menerbitkan kata-kata fitnah terhadap Mahfuz berhubung isu sama.

“Individu berkenaan memaparkan semula hantaran Facebook Muhammad Sanusi bertarikh 30 Julai 2019 yang telah pun diputuskan sebagai fitnah oleh Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan.

“Oleh itu, satu notis tuntutan telah dikeluarkan kepada penama terbabit pada 18 April, menuntut permohonan maaf secara terbuka melalui akaun Tiktok tersebut,” katanya.

Menurutnya lagi, nilai ganti rugi akan ditentukan dalam tempoh tujuh hari dari tarikh notis dan sekiranya gagal berbuat demikian, tindakan undang-undang akan diteruskan.