Sanusi umpama panglipur lara, dedah pakar sejarah
Tiada dokumen pajakan atau perjanjian pembayaran royalti antara Pulau Pinang dan Kedah pada 1786, kata Profesor Datuk Ahmad Murad Merican seperti dilaporkan The Vibes.
Sehubungan itu, profesor sejarah sosial dan intelek Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa-Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (ISTAC-IIUM) berkata naratif bahawa sebenarnya terdapat perjanjian pajakan antara negeri-negeri itu hanyalah mitos.
“Saya tidak tahu perjanjian apa yang dirujuk oleh menteri besar Kedah dalam isu pembayaran pajakan tetapi pada 1786, langsung tidak ada dokumen mengenai pajakan Pulau Pinang dari Kedah.
“Isu pajakan ini adalah salah faham dalam sejarah negara dan ramai yang percaya dengan kewujudan perjanjian pajakan… (tetapi) ia tidak berlaku pada awalnya,” katanya kepada The Vibes hari ini.
Semalam, Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor berkata negeri itu akan menuntut bayaran daripada Pulau Pinang untuk pampasan pajakan RM100 juta setahun melalui kerajaan persekutuan selepas mendapati ia tidak dinilai semula sejak 1786.
Tuntutan itu adalah dalam senarai hasrat kerajaan Kedah untuk Bajet 2022, yang akan dibentangkan esok.
Sanusi berkata ketika ini kerajaan negeri hanya menerima bayaran khas RM10 juta setahun sejak 2018 dan royalti pajakan RM10,000 setahun.
Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata sebagai maklum balas bahawa Pulau Pinang tidak akan membayar satu sen pun kepada Kedah dan menggesa kerajaan persekutuan untuk mengabaikan permintaan itu.
Bayaran pajakan yang dibuat kerajaan pusat kepada Kedah sebelum ini, katanya, dilakukan kerana banyak pihak mempercayai naratif sejarah tidak benar yang disalahtafsirkan.
Murad yang telah mengkaji sejarah Pulau Pinang dan Kedah selama lebih 20 tahun berkata walaupun bayaran pajakan masih perlu dibuat, pihak yang boleh menuntutnya adalah pihak istana Kedah.
Menanggap lebih lanjut, Murad berkata Pulau Pinang dirampas daripada sultan Kedah melalui urusan dengan pengasas negeri itu, Kapten Francis Light.
“Saya bukan orang pertama mendedahkan tiada pajakan antara Pulau Pinang dan Kedah. Ia sebelum ini didedahkan oleh ahli sejarah R. Bonney melalui bukunya pada tahun 1971.
“Bagaimanapun, buku itu tidak diketahui ramai orang. Jadi, saya harap kita dapat membetulkan dan menyemak semula sejarah sebenar Pulau Pinang dan Kedah.”